Saturday, June 19, 2010

JOM BERSAMA PAKNIL KITA GANYANG AEDES!!!

Semalam secara rasmi, Paknil telah dilantik sebagai ikon anti denggi dalam kempen terbaru Kementerian Kesihatan "Jom Ganyang Aedes" bagi menangani wabak denggi.
Satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak telah berlangsung di bilik gerakan Kementerian Kesihatan BlokE7, Putrajaya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Bagi Paknil, penglibatan dalam kempen ini adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sosial kepada negara diharap mampu menarik minat komuniti setempat khususnya golongan remaja untuk turut sama membanteras denggi.
Paknil lihat pihak kementerian begitu bersepadu untuk mengadakan projek khas "Jom Ganyang Aedes" ini khusus untuk membasmi demam denggi secara serius, konsisten dan bersungguh-sungguh. Tugas Paknil pula adalah untuk memberi kesedaran dengan mengunjungi kawasan-kawasan hotspot, bersama bergotong royong dan melakukan kunjungan ke rumah-rumah masyarakat setempat member pemahaman mengenai pembiakan nyamuk aedes ini.
Terlanjur menulis entri ini, Paknil nak juga bagi tahu kepada semua bahawa kunci utama bagi mencegah demam denggi adalah dengan mengurangkan tempat pembiakan aedes sama ada di dalam atau di luar rumah kerana aktiviti semburan kabus atau fogging hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik.Jentik-jentik cuma mengambil masa seminggu sahaja untuk menjadi nyamuk dewasa dan sebab itulah jentik-jentik ini perlu dihapuskan dengan membersih rumah seminggu sekali.
Semua sedia maklum, Paknil terpanggil untuk bekerjasama dalam kempen ini adalah setelah kehilangan rakan baik yang juga rakan penyampai radeio Era Din Beramboi, yang meninggal dunia pada 1 April lalu akibat demam denggi berdarah.
Cukuplah kawan Paknil seorang menjadi mangsa seekor nyamuk. Paknil tidak mahu ia turut berlaku pada orang lain dan sebab itulah Paknil harap kita sama-sama lakukan tugas kita untuk GANYANG nyamuk puaka ini

Friday, June 4, 2010

JOM RAMAI RAMAI!!




Alhamdulillah. Masa dinanti sudah tiba. Majlis pelancaran READ Malaysia 2010. Majlis dilancarkan oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Wee Ka Siong tepat pukul 11 pagi tadi. Paknil selaku Duta READ Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kami.
Paknil harap pengunjung blog ini akan ramai-ramai memeriahkan lagi pameran buku ini kerana banyk manfaat yang boleh diperolehi daripada pameran sebegini. Musim cuti sekolah ini, Paknil ingin minta kerjasama ibubapa semua untuk membawa anak-anak mereka ke sana.
Esok (5 Jun) pukul 3 petang, Paknil akan sekali lagi bersama pengunjung-pengunjung di sana terutama anak-anak yang kan bersama-sama dengan Paknil. Banyak aktiviti yang akan Paknil lakukan bersama mereka!
Dalam pada itu, Paknil juga akan buat lawatan mengejut dari semasa ke semasa tanpa ada pengumuman. Tup tup nanti Paknil muncul aje!
Hari ni tak ramai lagi mungkin kebanyakannya masih bersekolah dan ibubapa bekerja. InsyaAllah hujung minggu ini dan hari-hari selepasnya, kami jangkakan lebih 400 ribu pengunjung akan datang. Jumpa di sana sana sana!!!!