Tuesday, January 26, 2010

JOM UNDI VIDEO PAKNIL!!!!

Kalau korang rajin, jom lah singgah di (klik sini) untuk sama bantu Paknil menang video Revive Isotonic Terbaik dan Terfofuler danTergempak dan Terberani dan Terkreatif!!!!
Ala...suka-suka ajer ni. Paknil nak cuba kalahkan video penyampai dari radio lain.
Amacam geng? Boleh bantu? Saper yang dah vote, boleh tinggalkan namanya di sini supaya Paknil dapat lihat saper yang tolong Paknil...hehehe
Khabarnya pemenang akan diberi hadiah RM3,000! Jadi Paknil nak berikan hadiah itu kepada korang yang dah mengundi dan tinggalkan slogan terbaik di sini "Paknil patut menang kerana......(tidak melebihi 20 perkataan). ANDA TAK UNDI ANDA TAK MENANG!
Selamat Mengundi!!!!
REV UP YOUR LIFE WITH REVIVE ISOTONIC!

Monday, January 25, 2010

SAIFUL OH SAIFUL

MUHD SAIFUL RIZWAN/USIA : 21 TAHUN /ASAL : KELANG, SELANGOR

Sebelum kemalangan Saiful menjalani kehidupan yang normal. Merupakan seorang yang pendiam dan sangat kuat bekerja. Merupakan anak sulong dalam keluarga 5 adik beradik. Mempunyai seorang kekasih yang hanya mahu dikenalkan sebagai Yati sahaja.

Dalam bulan 6 tahun lalu, satu kemalangan ngeri menimpa Saiful yang sekali gus merubah hampir separuh dari wajahnya. Bahagian mulu dan dagu Saiful hancur, dua tulang rusuk kiri dan dua tulang rusuk kanan juga patah. Hatinya juga rosak teruk dan terpaksa dibuang. Lebih 20 hari Saiful berada di dalam koma.

Ketika itu juga, Paknil dihubungi oleh adik Saiful bernama Aishah melalui segmen Merisik Khabar di Riuh Pagi Era. Aishah mengadu yang dia terpaksa berhenti kerja kerana menjaga abangnya yang kemalangan di hospital. Ramai pendengar Era yang prihatin dan hanya mampu menitipkan rasa simpati dan pesanan untuk kuatkan semangat.

Mendengar cerita Aishah, Paknil juga tidak dapat membayangkan betapa getirnya dugaan yang dilalui oleh remaja belasan tahun ini. Namun cerita Aishah yang kita dengar ketika itu terhenti di situ sahaja.

Namun pada hari Isnin 18 Januari, Paknil terbaca pula satu lagi SMS dari pengadu bernama Saiful yang mengadu kekasihnya berubah hati setelah dirinya kemalangan. Tanpa menyangka ia ada hubungan dengan cerita SMS pertama tadi, Paknil mengubunginya. Jauh di suara sebelah sana, Paknil terdengar suara yang agak pelik kedengarannya. Setelah diperkenalkan, barulah Paknil tahu rupanya Saiful itulah abang kepada Aishah.

Saiful bercerita pada Paknil yang dirinya sudah lemah dalam kehidupan setelah wajahnya berubah dan kini kekasih hatinya meninggal dirinya. Lebih perit apabila kekasihnya beralih hati pada teman baik Saiful. Saiful sudah putus harapan untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, dia beralih kepada Paknil untuk mencari kekuatan dan sinar baru. Dia ingin ketemu dengan Paknil. Entah kenapa, tergerak hati Paknil ini untuk bersama kru Era menemui Saiful pada hari selasa keesokan harinya. Berdebar juga hati Paknil dalam perjalanan ke rumah Saiful hari itu bukan kerana takut akan melihat wajah Saiful tetapi kerana takut kata-kata Paknil tidak mampu menaikkan semangat Saiful untuk kembali bangun. Paknil tak henti berdoa agar Tuhan melancarkan lidah ini untuk menaikkan semangat anak remaja ini.

Setiba di rumah Saiful, Paknil dinanti Saiful dan keluarganya. Wajah Saiful diselindungkan di sebalik topeng hidung dan mulut. Tanpa ada rasa gentar, Paknil minta Saiful tanggalkan topeng itu. Saiful akur. Ketika itu, jiwa Paknil hancur kerana tidak dapat membayangkan kekuatan yang Saiful punyai untuk memikul dugaan pada wajahnya seperti yang Paknil lihat di depan mata Paknil sekarang.

Namun, sedikit pun tidak timbul rasa takut malah simpati Paknil berlipat seribu kali. Hampir sejam Paknil merapati Saiful dan akhirnya Saiful mempercayai Paknil. Ketika itulah Paknil diberitahu, Saiful sempat mengarang beberapa sajak ketika berada di katil hospital.

Bagus juga sajaknya. Saiful sendiri akui yang dirinya tidak pernah menulis apa-apa karangan sebelum itu. Hebatkan kuasa Tuhan. Dibukakan anugerah yang selama ini tersembunyi di dalam diri Saiful.

Sekembali dari kunjungan ke rumah Saiful, fikiran Paknil terus teringat-ingat akan sajak yang Saiful lakarkan itu. Paknil rasakan sajaknya ada nilai komersil dan cadangkan kepada Era agar kita carikan peluang baru untuk Saiful. Akhirnya terfikir untuk memperkenalkan Saiful kepada komposer hebat Ajai.

Pagi Khamis, Paknil di Riuh Pagi Era menjemput Saiful sebagai tetamu. Saiful hadir ditemani adiknya, Aishah. Dalam temubual, Paknil dapat lihat Saiful sudah ada semangat untuk meneruskan kehidupan, bertalu panggilan telefon dari pendengar Era yang masuk untuk bercakap dengan Saiful dan sekali gus ingin memberi kata semangat padanya. Terima kasih pada semua!

Tup tup! Pukul 9 pagi kami masukkan satu panggilan telefon kezzzutan kepada Saiful. Datuk Siti Nurhaliza. Datuk Siti puas berpesan kepada Saiful untuk bangun semula dan dari getaran suara Datuk Siti, Paknil rasa Datuk Siti juga gugur airmatanya. Terima kasih Datuk kerana sudi ‘singgah’ seminit dua untuk membaik pulih perasaan lemah Saiful. Terlihat ada campuran riak malu, bangga dan suka di wajah Saiful.

Lebih tidak disangkakan Saiful apabila Ajai pula kami sambungkan dihujung talian. Kedua beradik hampir tergamam dan terdiam apabila mengetahui Ajai berminat untuk mengenengah bakat Saiful sebagai penulis lirik. Tidak pernah disangka oleh Saiful yang sinar hidupnya mula menyinar kini.

Teruja Saiful bercerita tentang keinginannya untuk menulis lirik lagu pula. InsyaAllah jika kita semua panjang umur, kita akan sama-sama saksikan kehebatan anak muda ini menongkah arus kehidupan sebagai penulis lirik yang hebat pula. Rezeki manusia bukan urusan kita. Tuhan penentu segalanya. Paknil nantikan kemunculan lagu pertama nukilan Muhd Saiful Rizwan!

p/s : Paknil lampir di sini sajak tulisan tangan Saiful yang diciptanya untuk Paknil. Terima Kasih Saiful!

Monday, January 18, 2010

CATATAN HUJUNG MINGGU DI BALI

JUMAAT 15 JANUARI 2010
Selepas selesai kerja Paknil di Riuh Pagi Era, Paknil bergegas ke KLIA kerana mengejar kapalterbang MAS ke Bali, Indonesia yang dijadualkan bertolak pukul 12:25 tengahari. Nasib baik sempat.
Paknil belum pernah ke Bali sebelum ini kerana ada yang beritahu Bali adalah sempurna bagi mereka yang menggemari pantai dan sukan luncur air. Jadi, selama ini Paknil tidak terbuka hati pun untuk ke sana.
Namun pihak ERA FM, menganjurkan sesi ‘perah otak’ di Bali dan mahu tak mahu Paknil akur mengikutinya. Perasaan Paknil berbelah bagi juga untuk kesana kerana gerun kepada detik peristiwa pengeboman pusat hiburan pada 12/10/2002 yang mengorbankan 202 rakyat Indonesia dan asing, yang pernah Paknil dengar.
Penerbangan ke Bali mengambil masa 3 jam dan waktu di Bali sama seperti di Malaysia. Ini bermakna, Paknil tiba di sana pada pukul 3:25 petang. Keadaan lapangan terbang Denpasar ini tidaklah canggih sangat seperti KLIA tetapi cukup untuk menampung pelancong yang cukup ramai berkunjung ke sana.
Kelulusan imigresen pun tidak lama kerana rakyat Malaysia tidak melalui proses visa dan ini mempercepatkan kemasukan. Setiba di luar dewan ketibaan, panik juga Paknil bila wakil hotel yang sepatutnya memegang nama kami tidak kelihatan.

video

Sementara menunggu, Paknil ambillah beberapa keping gambar kenangan pintu di pintu airport.

Tidak lama kemudian TinTin wakil dari Villa Ixora tempat kami menginap muncul. Lega hati. Perjalanan dari lapangan terbang Denpasar ke Villa Ixora di daerah Seminyak tidak lama cuma dalam 20 minit. Setiba di Villa Ixora, Paknil dihantar ke bilik Hibiscus 1 di tingkat bawah villa itu. Ok jugaklah villa 4 bintang itu. Ada ‘privacy’ dan jauh dari hiruk pikuk bunyi kenderaan. Sesuai untuk memerah otak.

Tepat pukul 5 petang, sesi perah otak pun bermula.Lama juga sesi ini berlangsung kerana tanpa sedar, dua pelancong tua mat salleh yang tadi berendam di swimming pool di hadapan gazebo tempat kami berbincang sudah tukar pakaian dan bersedia untuk makan malam pula di bawah gazebo itu. Kami masih tidak bergerak. Rupanya sudah pukul 8:30 malam!

Sesi diteruskan lagi sebab perut kami masih belum lapar. Tanpa kami sedar kerana asyik memerah otak, pasangan mat salleh tua itu sudah selesai makan dan mengucapkan ‘Selamat Malam’ kepada kami. Sebelum beredar, sempat juga mereka bergurau, “Hope to see you during breakfast here!”. Kelakar jugak pakcik dan makcik putih ni.

Bila jam sudah hampir pukul 11:30 malam baru kami rasa lapar. Ketika itu banyak juga yang telah kami bincangkan. Yelah hampir 7 jam kami berbincang tanpa bergerak! Kami meminta pihak Villa untuk memanggil ‘taksi’ (teksi) bagi membawa kami ke tempat makanan orang Islam yang berdekatan. Hati-hati di sini mereka ini semua nampak seperti kita orang melayu tetapi mereka tidak semestinya Islam. Supir taksi (pemandu teksi) membawa kami ke gerai makan orang minang berdekatan di situ. Sedap juga makanannya dan murah!

Paknil mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat pemandu yang sama untuk membawa kami pusing-pusing bandar Kuta untuk menyaksikan aktiviti mereka di waktu malam. Aduh! Setiba di tempat utama hiburan di Jalan Legian Kuta, Paknil lihat seperti berada di Australia pula kerana rata-rata rakyat Australia sahaja yang memenuhi kawasan itu. Seolah-olah setengah rakyat negara mereka berada di situ.

Lama jugak lah Paknil berada di kawasan itu memerhati gelagatmereka dan terhibur dengan gaya serta ragam rakyat tempatan mencari wang. Hampir pukul 3 pagi Paknil beredar untuk berihat di villa dan cukup Paknil teruja kerana tidur malam Paknil kali ini di temani dengan bunyi cengkerik dari kawasan kampong sekeliling.

SABTU 16 JANUARI 2010

Kami mulakan hari kami untuk ke pantai Kuta kerana kami ingin menyambung lagi sesi perah otak kami sambil makan tengahari di Hotel Hard Rock Café pula. Sementara menunggu teksi yang kami tempah tiba, Paknil sempat juga bergambar di sawah padi yang terbentang berdekatan villa kami. Kagum betul Paknil melihat keunikan aturan kawasan sawah padi ini yang berjirankan villa pelancongan mewah.

Ketika gambar diambil, terdapat beberapa pesawah sedang menuai padi yang sudah masak. Seronok Paknil dapat saksikan sendiri bagaimana rakyat tempatan meneruskan kehidupan petaninya walaupun daerahnya sudah dikomersilkan dengan villa-villa pelancongan.

Sepanjang perjalanan ke Hotel HRC, Paknil perhatikan kebanyakan rakyat tempatan di sini gemar berniaga sebagai sumber rezeki mereka. Dari perniagaan besar seperti menjual perabot, barangan antik, restoran besar dan butik hinggalah ke perniagaan s menjual cenderamata bali dan mederhanaakanan tempatan. Dalam pada itu ada juga peniaga kecil-kecilan seperti menjual jagung, rojak, air, gelang yang dibuat sendiri dan sebagainya.

Setiba di Hotel HRC, sekali lagi Paknil terpegun dengan rekabentuk hotel ini yang mempunyai atur hiasan dalaman yang cantik. Kami tidak sempat untuk melawat hotel ini kerana Paknil mahukan sesi perah otak dijalankan segera sambil menjamu makan tengahari. Satu, sebab Paknil dah lapar dan keduanya sebab Paknil nak ambil kesempatan lebihan waktu yang tinggal untuk bersiar menjengok kawasan Kuta yang terkenal dengan jualan barangan cenderamata dan pantainya yang cantik.

Selesai menikmati makan tengahari dan kami buat rumusan atas perbincangan perah otak itu, kami bersetuju untuk menutup buku kerja dan membuka buku riadah pula. Di Hotel HRC sempat juga kami menderma kepada Yayasan John Lennon untuk membantu mangsa gempa bumi di Haiti. Terus terfikir kemewahan kita bercuti di Bali dibandingkan dengan kesengsaraan mangsa gempa di Haiti.

Lupakan seketika soal itu, Paknil terus melintas jalan di hadapan Hotel HRC untuk menaiki pedati kuda padi yang telah sedia menunggu. Paknil teringin mengelilingi kawasan Kuta itu dan melihat serta merasakan kesibukan jalanraya yang disulami dengan bunyi tapak kaki kuda. Banyak juga kereta kuda ini membawa pelancong.

Paknil tahan perasaan Paknil untuk shopping kerana Paknil tersentuh dengan kehadiran beberapa orang kanak-kanak yang ponteng sekolah menjual gelang tangan untuk membantu pendapatan keluarga. Selagi ada kanak-kanak yang datang, Paknil suruh ikatkan gelang itu ditangan tanda setuju membelinya walaupun Paknil beli pada harga yang tinggi dari yang mereka katakan! Akhirnya tangan kiri Paknil penuh dengan gelang yang diikat kanak-kanak jalanan Bali!

Perasaan tak mau shopping Paknil tak tahan lama hehe sebab Paknil terpikat dengan baju warna biru yang digantung diluar tingkap kedai. Paknil beli juga akhirnya dan terus pakai. (Tu sebab baju Paknil dah bertukar...alamak kantoi!)

Tak sah lawatan ke Bali jika tidak singgah ke tapak kawasan bom yang membunuh 202 orang awam dan pelancong yang berada di Kelab Sari pada 12hb Oktober 2002.

Berderau darah Paknil bila membayangkan apa sebenarnya berlaku di tempat Paknil berdiri hampir 8 tahun dahulu. Sebuah tugu dibina untuk mengingatkan kejadian yang dikutuk dunia ini dengan nama-nama mangsa tersenarai panjang di atas tembok khas tugu itu.Banyak pengajaran yang boleh kita selam di situ walau hanya melintas seminit di hadapan tapak Kelab Sari!

Paknil tinggalkan lagi episod hitam itu seketika dan teruskan perjalanan mengintai kedai-kedai yang sederhana besarnya di sepanjang kiri kanan jalan. Terpegun Paknil lihat barangan cenderamata yang dijual kerana kesemuanya sememangnya unik dan kreatif.

Paknil sempat juga singgah di kedai urut refleksologi untuk merasa urutan bali yang sering Paknil dengar dari mereka yang pernah ke sini. Paknil yang tidak tahan dengan urutan tapak kaki kerana geli, cuma dapatkan urutan kepala dan bahu sahaja. Sejam jugak Paknil di sana sambil Paknil membuat ‘temubual’ dengan tukang urut bernama Dhani berusia 20 tahun.

Katanya, bayaran yang diterimanya tidak banyak cuma 2% daripada bayaran yang dibayar pada kedai. Tiada gaji pokok. Dicongak-congak, Paknil dapati yang Dhani cuma peroleh lebih kurang RM2.50 untuk setiap pelanggan. Paling ramai yang diurut sehari adalah dua orang! Pernah katanya, dia terpaksa berpuasa seharian untuk terus cari pendapatan untuk diri sendiri.

Ini menjadikan Paknil lebih insaf pada kehidupan. Paknil tidak mahu meletakkan apa-apa prasangka pada cerita Dhani itu kerana dari nada suaranya Paknil rasa dia jujur. Paknil hulurkan tip USD20 untuk duit poketnya. Tersenyum lebar Dhani sambil mengucapkan ‘Makasih Mas’!

Paknil terus berjalan kaki keliling kawasan Kuta dan Paknil dapat lihat bagaimana adanya bangunan-bangunan lama dengan struktur ukiran yang tersendiri di celah-celah kedai menjual barangan cenderahati. Bagus juga mereka ini mempertahankan khazanah seni bina lama ini agar tidak hilang.

Berjalan bagaikan tidak penat kerana ada sahaja aktiviti jualan yang dilakukan pedagang di sepanjang jalan berkenaan. Yang paling Paknil terperanjat bila ada yang menghampiri Paknil dan ingin menjual ‘mushroom’. Tertanya-tanya juga Paknil apa kebenda yang dijual sambil berbisik-bisik itu sehinggalah Paknil mengetahui yang ia merupakan pil khayal untuk bersuka-suka. Geleng kepala Paknil sambil berlalu.

Setiba di pantai Kuta, Paknil lihat sudah ramai warga tempatan yang mungkin juga dari luar daerah Pulau Bali memenuhi pantai yang panjang itu. Ada yang bekeluarga dan ada yang datang dengan rombongan. Tak ramai pula warga kulit putih ketika ini. Oh, mungkin mereka sudah ramai meninggalkan pantai kerana lebih suka bersidai ketika matahari sedang tegak dan ketika ini, warga tempatan pula bersantai menikmati angin laut yang kuat.

Sambil memerhati matahari yang hampir terbenam, Paknil duduk lepak mengadap laut dan memesan Bakso dari warung kakak bertudung di situ. Dah lama Paknil tak minum Fanta Oren! Sambil menghirup Fanta, Paknil menikmati hidangan sup bebola daging yang lazat dan murah. Tak puas dengan bakso semula jadi, Paknil pesan pula sambal cili untuk dimasukkan kedalam sup. Waduh! Enak deh!

Ketika itu juga Paknil dah mula terasa perut Paknil memulas. Hambik kau! Nak sangat repair masakan orang.Tanpa tunggu lama dan waktu pun sudah hampir gelap, Paknil terus menahan ‘Taksi’ untuk pulang ke Villa. Setiba di Villa, Paknil ‘terjah’ terus tandas bilik untuk mengurangkan sakit perut yang memintal usus Paknil. Selepas lega sedikit, Paknil rasa Paknil ingin berehat sahaja di bilik untuk menonton tv kerana waktu sudah hampir pukul 8 malam.

Sambil melegakan keadaan perut, Paknil menonton pelbagai rancangan terbitan tempatan dan antaranya adalah ‘Take Me Out Indonesia’. Dalam pada itu, benak kepala Paknil ini masih lagi berbagi-bagi untuk keluar. Yelah, bukan selalu dapat peluang sebegini dan takkan lah Paknil ingin berkurung di bilik sahaja.

Maka Paknil bingkas bangun dan menelefon ‘Taksi’ untuk menjemput Paknil walaupun jam menunjukkan hampir pukul 11 malam. Setiba teksi yang dipesan, Paknil terus meminta pemandu itu membawa Paknil menyusuri jalan-jalan kecil dan jalan-jalan belakang yang dipanggil sebagai ‘jalan potong’. Paknil teringin melihat apakah pula aktiviti warga setempat di waktu malam.

Sememangnya satu pengalaman yang pelik dan berharga kerana Paknil dapat melihat kehidupan di celah-celah bangunan dan rumah kedai apabila teksi yang Paknil naiki melalui jalan-jalan sempit yang hanya muat untuk saiz satu kereta.

Dalam pada itu, Paknil terlihat juga betapa mesranya pelancong Australia bersama warga tempatan seolah mereka senegara. Begitulah hebatnya warga Australia di Bali sehingga mereka tidak lagi janggal berada di pulau milik Indonesia. Ada juga yang sudah begitu arif selok-belok jalan di sana dengan menunggang sendiri motor!

Ternganga Paknil melihat hampir di setiap lorong kecil terdapat pub-pub dan tempat karaoke yang sentiasa penuh dengan pelanggan. Ramai mat saleh-mat saleh yang memenuhi premis satu bintang itu. Memanglah hiburan merupakan nadi waktu malam di daerah ini.

Tak puas dengan menaiki ‘Taksi’, Paknil sewa motor pulak untuk mengelak kesesakan lalulintas di waktu malam apabila kesemua warga pelancong berhibur. Di sana, kita boleh membayar kenderaan motor untuk membawa kita ke destinasi pilihan kita dan cara ini lebih praktikal dan cepat.

Pecah rekod Paknil kali ini. Dah lama Paknil tak jadi pembonceng motor apalagi menunggangnya. Kali ini, Paknil kembalikan kenangan lama Paknil dan mulalah pemandu pelancong bermotor itu bawa Paknil merayau ka kawasan-kawasan yang lain. Paknil sempat melihat aktiviti Bungee Jumping di waktu malam! Lebih dahsyat, bila ada juga yang lebih berani melakukan Bungee Jumping Bermotor! Yang itu, Paknil jadi penonton ajelah…penakut sikit bab-bab camtu :)

Sebelum Paknil menamatkan rondaan waktu malam itu untuk dijadikan catatan blog ini, sempat juga Paknil menjadi saksi kepada insiden pergelutan dua kumpulan remaja lelaki Australia di luar pusat hiburan. Hadoi! Gitulah bila dah mabuk dan khayal, rencana untuk berhibur bertukar menjadi trajedi. Paknil bingkas tinggalkan tempat itu untuk dihantar motor ke villa semula. Masuk ke bilik, Paknil sempat tersenyum sendirian mengenangkan perkara yang Paknil sendiri tidak sangka akan lakukan.

AHAD 17 JANUARI 2010

Oleh kerana kapalterbang berangkat pukul 12 tengahari, jadi lupakanlah hasrat untuk bersiar-siar lagi kerana pukul 10 pagi kami sudah perlu bertolak ke lapangan terbang Denpasar untuk pulang. Rekod peribadi buat Paknil : Paknil cuma sempat shopping sehelai t-shirt biru sahaja dalam lawatan kali ini!

Makanya, Paknil tinggalkan harapan untuk kembali lagi ke Bali kerana tujuan Paknil untuk mencari perabot yang dikatakan murah masih belum terlaksana. Kata abang ‘Taksi’ perabot yang murah dan cantik terdapat di Ubud. Alahai…bila pulak nak ke sana ni!

Saturday, January 9, 2010

KUI KUI KUI...PAKNIL DAH GEMUUUUUKKK!!!!

Ari tu adalah Paknil terbaca kat ShoutBox Paknil ada beberapa pengunjung kata Paknil terlalu kurus. Bila tengok kat cermin, Paknil rasa iye kot. Jadi, Paknil tanya kat orang sekeliling, "kurus sangat ke?".
Paknil obses sikit bila cakap pasal berat badan. Ada yang kata kurus sangat dan ada kata Paknil dah tua, tak elok kurus sangat nanti nampak lagi tua. Sebenarnya Paknil suka puasa, selain berpuasa dapat juga Paknil kawal nafsu makan Paknil ni.
Pikir punya pikir, Paknil rasa nak gemukkan sikit berat badan Paknil supaya kulit badan dan muka tak kendur. Jadi bila bab makan, Paknil belasah jugak lah. Alih-alih sekarang Paknil rasa macam dah terlebih pulak dan dah mula nampak gemuk.
Tengoklah bawah dagu Paknil tu macam dah ada isi!! Sekarang berat badan Paknil dah cecah 66kg berbanding dulu yang orang kata kurus sangat tu 62kg.
Sekarang ni Paknil rasa macam nak kuruskan sikit tapi ada yang kata gemuk kan sikit lagi. Korang rasa?
PAKNIL : Bukan nak jadikan isu pasal hal remeh ni tapi kat blog Paknil sendiri, tak salah kan kalau Paknil nak kongsi jugak benda-benda personal cam ni?

Monday, January 4, 2010

TERSENTUH PAKNIL DGN NABIL

Alahai Nabil oi....apa sangatlah Paknil ini nak diangkat setinggi itu. Sememangnya Paknil sangat tersentuh dengan artikel dalam Metro Ahad (klik sini) semalam mengenai pandangan Nabil pada Paknil. Terima kasih Nabil. Nabil memang seorang yang berbudi pekerti tinggi walaupun lawaknya kadang-kadang tak hengat tetapi ibubapa Nabil sudah membesarkan Nabil dengan pekerti yang baik. Pandai hormat orang. Selagi Nabil bersikap demikian, Insyaallah, Nabil akan sentiasa mempunyai ruang untuk menjadi lebih baik. Wassalam.