Wednesday, April 30, 2008

Pejabat bergerak Aznil

Oleh FAIZAL SAHARUNI/ KOSMO/ 30 APRIL 2008

DIA dan urusan kerja bagai tidak boleh dipisahkan. Kalau tugasan tidak ada dalam agenda harian, maka pincanglah hidup manusia bernama Aznil Nawawi yang 'ketagih' untuk bekerja ini. Ada kebenarannya, Perunding Kreatif Astro ini sudah punya segala-gala. Apa lagi yang diingin Aznil sedangkan dia kini berada dipaksi kemasyhuran hinggakan empunya badan berhasil meraih gelaran pengacara nombor satu negara.

Bukan bersikap tamak haloba dan mementingkan diri sendiri sehingga menutup pintu rezeki artis lain, sebaliknya anak jati Kuala Lumpur yang penuh ambisi ini bijak mencatur segala rancangan untuk hari seterusnya.

"Saya boleh gila kalau tak bekerja," luah Aznil dengan jiwa bergelora semasa diwawancara Kosmo! di kediamannya di pinggir ibu negara baru-baru ini.

Menjadi insan nombor satu dalam bisnes hiburan tanah air dan disanjung pemujanya tidak sesekali membuatkan lelaki berusia 46 tahun ini alpa atau riak.
Sebaliknya, tabiat merendah diri, gigih bekerja dan berpijak di bumi nyata terus menjadi amalan serta santapan hariannya.
SELAMAT datang ke pejabat saya.

"Saya pentingkan kerja. Jadual saya agak padat sampaikan terpaksa buat beberapa tugasan dalam kereta," ungkap penyampai Radio ERA ini.

Mesyuarat dalam keretaMenggunakan Nissan Elgrand Impul 455 sejak setahun lalu, beritahu Aznil, mobil buatan negara Jepun itu banyak membantu pergerakannya ke merata tempat.

"Kenderaan ini ibarat rumah kedua. Ia sungguh selesa dan sesuai untuk perjalanan jauh. Kalau ada pertunjukan di luar kota, Nissan Elgrand inilah yang mengangkut saya.

"Sekiranya menjalani penggambaran di kawasan pedalaman yang tidak sediakan kemudahan bilik, saya boleh tukar baju dan bersiap dalam kenderaan.

"Selalunya pembantu peribadi saya yang akan pandu kereta ini. Saya hanya duduk di belakang, merehatkan diri seketika sambil membaca akhbar serta majalah.

"Saya pun boleh tidur lena sebab kereta ini kondisinya besar, jadi saya bebas lakukan apa saja dengan keluasannya itu," kata Aznil membahas kepentingan Nissan Elgrandnya.
Adakalanya Aznil sempat mengadakan mesyuarat dalam mobil kesayangannya dengan rona hitam itu
"Jangan terkejut, saya pernah adakan perjumpaan dengan klien dalam Nissan Elgrand itu sambil dipandu mengelilingi sekitar Kuala Lumpur.
"Memang menyeronokkan kerana kereta ini memberi banyak kenangan yang sukar dilupakan dalam ingatan," tambah Aznil.

Tidak lena fikir Nissan ElgrandMengimbas saat hati terdetik untuk memilih Nissan Elgrand itu untuk berdampingan dengan dirinya, beritahu Aznil, pada mulanya dia ternampak kelibat kereta itu meluncur megah di jalanan.

"Saya tengok reka bentuknya cantik dan menawan. Saya ini jenis manusia yang tak boleh berhenti berfikir dalam masa tiga hingga empat hari mengenangkan sesuatu benda yang saya suka.

"Selagi tak dapat, terbayang-bayang saja. Lepas itu saya tengok potensi kereta berkenaan dalam aspek kewangan dan lihat sama ada ia dalam senarai kemampuan saya atau pun tidak," jelas Aznil.
Mendasari sisi sebenar hos yang cukup sukses ini, Aznil tidak mahu dilabel lupa daratan atau sekadar ingin berlagak dengan kemewahan yang ada.

"Kalau boleh saya tak mahu dianggap menunjuk-nunjuk oleh masyarakat. Lama jugalah membuat keputusan sebelum beli kereta ini.

"Akhirnya saya nekad nak beli juga. Lagipun dah lama saya kepingin untuk beli kenderaan baru," jawab Aznil enggan berselindung.
Alahai Aznil, peminat pun sedia maklum sukses penyanyi kesayangan mereka yang terkenal menerusi lagu Profesor Klon
Selayaknya mobil itu menjadi ganjaran utama atas tiap titisan peluh yang mengalir selama ini, menjaja suara dan bakat kepada khalayak tanpa mengira penat dan lelah.

Jarang memandu sendiriSengaja menebak, barangkali bapa terhangat kepada dua cahaya mata, Fildza Haifa, 18, dan Fariq Haizen, 13, jarang memegang stereng kereta disebabkan dia ada pemandunya sendiri yang membawa ke destinasi yang ingin dituju.

Pun begitu Aznil mendedahkan, ada waktunya dia suka memandu sendiri daripada meminta pertolongan pembantu peribadi.

Biasanya Aznil akan mengguna kudrat sendiri memandu semasa menghabiskan waktu senggang bersama anak-anak.
"Ada juga saya pandu kereta sendiri, tapi jarang sangatlah. Komitmen kerja saya saja dah cukup penuh dan sibuk.

"Saya cuma bawa kereta hujung minggu, itu pun kalau tiada sebarang tugas pada hari berkenaan," ujar pengacara rancangan kanak-kanak popular, Tom Tom Bak ini.
Dalam pada itu, Aznil kurang senang tatkala berbicara perkara buruk tentang kenderaannya itu termasuklah kata-kata yang terlahir dari bibir orang lain tentang perancangan hendak menjual Nissan Elgrand itu setelah dia membeli mobil baru.

"Saya tak selesa cerita soal jual kereta. Saya tak rasa ia bagus untuk diucapkan. Walaupun hanya sebuah kereta, ia juga ada perasaan dan boleh merajuk
"Tak tahulah bagaimana naluri sebegini boleh timbul, tapi saya cukup percaya bahawa pemilik kereta tidak boleh bercakap sesuatu kurang elok dengan mobilnya," kata Aznil tegas.

Selain jadual kerja lain yang sedia menanti dan menjadi satu petanda rezekinya belum surut, Aznil tetap mahu mengabdikan diri dalam bidang ini selagi masih dikurniakan kesihatan yang bagus.
"Saya mahu buat kerja amal dan mendekatkan diri kepada masyarakat.
"Tak terkecuali, saya akan jalankan bengkel-bengkel berkaitan dunia hiburan khususnya untuk menjadi seorang pengacara yang baik," azam individu yang disayangi oleh jutaan rakyat Malaysia ini dengan cukup berhemah

7 comments:

sajidah said...

wow!! bestnye kete tu... nk tumpang... nk naik utk g ujibakat Tom Tom Bak... heheheh...

Tieah Madian said...

Wowwwwwwwwwwwwwww! hebat Abg Aznil nie..
> Ada driver........
> Kereta besar......
> Fuiyoooooooooooooo rg kaya Kl tueeeeeeee........
> Abg Aznil,,,,,,,, dok sorang2 dengan driver dalam kereta yg besar mmg boring sesangat............. kalau berteman.......fuhhhhhhh,,,,,,,, syiokkkkkkkk banget dehhhhhhh....
> Carilah teman Abg Aznil......
> Saya ader nieeeeeeeeeeee.....hahahahahahahaha

Farazila said...

hola abg aznil...
wah ade pejabat bergerak...
boleh buat metim giteww...
yang bestnye bila je abes metim drop kat restoren..terus lunch kan..
errr..xperlu la nk jual kereta nie..mesti ade sentimental value kan..

zaszzzz.... said...

hye aznillll...
cantk aaa keta tu.

mcNods said...

wa.. best nye pak nil punye keta.. bile la kite bleh beli keta sendiri... uuuu...

Unknown said...

Salam..
Bagi saya tuan aznil tak menunjuk2.
bah kan sy berbangga dgn apa yg tuan aznil ada sebab u dh setanding dgn bangsa2 lain...
ini juga boleh menjadi contoh pada anak2 muda kita..
Melayu Boleh!!!!....
Syabas Tuan Aznil!!!!

Anonymous said...

tumpang gembira melihat aznil sentiasa gembira..melihat aznil tersenyum evry moment feels tht quite enough for you to discovered your world... best of luck!