Friday, July 9, 2010

GOTONG ROYONG GANYANG AEDES


InsyaAllah esok seawal jam 8pagi Paknil akan bersama-sama dengan penduduk di sekitar perkarangan Pasar Raya Bintang, Taman Kajang Mewah, Kajang Selangor bagi melakukan kerja gotong royong untuk mengganyang nyamuk aedes!
Ini adalah bersempena dengan kempen Jom Ganyang Aedes dan usaha mencegah demam denggi. Paknil sangat teruja untuk bersama-sama dengan penduduk setempat yang akan berkenal mesra dahulu sebelum kami sama-sama akan didedahkan tentang bahayanya demam denggi. Pastinya Paknil akan kongsi betapa sedihnya perasaan Paknil kehilangan rakan Paknil, Din Beramboi gara-gara diserang sakit demam denggi berdarah.
Turut akan turun padang adalah YB Dato' Sri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia. Paknil harap ramai yang akan berganding bahu untuk membersihkan kawasan rumah dan sekeliling mereka. Satu lagi acara yang Paknil sangat nantikan adalah kunjungan ke rumah penduduk setempat dan sekali gus melakukan demonstrasi membersihkan tempat-tempat potensi pembiakan jentik-jentik nyamuk.
Harap siapa yang berkesempatan, marilah kita sama-sama ke tempat yang Paknil maksudkan dan jangan ambil ringan tentang tugas memerangi denggi ini. Takkanlah sampai ahli keluarga kita menghidapi sakit itu baru kita ingin bertindak. Takut-takut nanti sudah terlambat.

Saturday, June 19, 2010

JOM BERSAMA PAKNIL KITA GANYANG AEDES!!!

Semalam secara rasmi, Paknil telah dilantik sebagai ikon anti denggi dalam kempen terbaru Kementerian Kesihatan "Jom Ganyang Aedes" bagi menangani wabak denggi.
Satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak telah berlangsung di bilik gerakan Kementerian Kesihatan BlokE7, Putrajaya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Bagi Paknil, penglibatan dalam kempen ini adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sosial kepada negara diharap mampu menarik minat komuniti setempat khususnya golongan remaja untuk turut sama membanteras denggi.
Paknil lihat pihak kementerian begitu bersepadu untuk mengadakan projek khas "Jom Ganyang Aedes" ini khusus untuk membasmi demam denggi secara serius, konsisten dan bersungguh-sungguh. Tugas Paknil pula adalah untuk memberi kesedaran dengan mengunjungi kawasan-kawasan hotspot, bersama bergotong royong dan melakukan kunjungan ke rumah-rumah masyarakat setempat member pemahaman mengenai pembiakan nyamuk aedes ini.
Terlanjur menulis entri ini, Paknil nak juga bagi tahu kepada semua bahawa kunci utama bagi mencegah demam denggi adalah dengan mengurangkan tempat pembiakan aedes sama ada di dalam atau di luar rumah kerana aktiviti semburan kabus atau fogging hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik.Jentik-jentik cuma mengambil masa seminggu sahaja untuk menjadi nyamuk dewasa dan sebab itulah jentik-jentik ini perlu dihapuskan dengan membersih rumah seminggu sekali.
Semua sedia maklum, Paknil terpanggil untuk bekerjasama dalam kempen ini adalah setelah kehilangan rakan baik yang juga rakan penyampai radeio Era Din Beramboi, yang meninggal dunia pada 1 April lalu akibat demam denggi berdarah.
Cukuplah kawan Paknil seorang menjadi mangsa seekor nyamuk. Paknil tidak mahu ia turut berlaku pada orang lain dan sebab itulah Paknil harap kita sama-sama lakukan tugas kita untuk GANYANG nyamuk puaka ini

Friday, June 4, 2010

JOM RAMAI RAMAI!!




Alhamdulillah. Masa dinanti sudah tiba. Majlis pelancaran READ Malaysia 2010. Majlis dilancarkan oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Wee Ka Siong tepat pukul 11 pagi tadi. Paknil selaku Duta READ Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kami.
Paknil harap pengunjung blog ini akan ramai-ramai memeriahkan lagi pameran buku ini kerana banyk manfaat yang boleh diperolehi daripada pameran sebegini. Musim cuti sekolah ini, Paknil ingin minta kerjasama ibubapa semua untuk membawa anak-anak mereka ke sana.
Esok (5 Jun) pukul 3 petang, Paknil akan sekali lagi bersama pengunjung-pengunjung di sana terutama anak-anak yang kan bersama-sama dengan Paknil. Banyak aktiviti yang akan Paknil lakukan bersama mereka!
Dalam pada itu, Paknil juga akan buat lawatan mengejut dari semasa ke semasa tanpa ada pengumuman. Tup tup nanti Paknil muncul aje!
Hari ni tak ramai lagi mungkin kebanyakannya masih bersekolah dan ibubapa bekerja. InsyaAllah hujung minggu ini dan hari-hari selepasnya, kami jangkakan lebih 400 ribu pengunjung akan datang. Jumpa di sana sana sana!!!!

Friday, May 28, 2010

CEWAH!!! IMAM MUDA LAH PULAK!!!!!

Muda ke? Hehehe
Jangan lupa untuk menonton Imam Muda di empat saluran melayu di Astro ie ASTRO Ria, Prima, Oasis dan @15 malam ini kul 9mlm. Paknil ada juga terlibat dengan program pencarian lelaki pertama di dunia untuk dijadikan Imam.
Kalau nak tahu apa agaknya peranan Paknil dalam siri Imam Muda ni, kenalah tonton. Imam muda ni tak ada SMS tau, jadi korang kena akur dengan setiap keputusan yang dilakukan oleh rancangan ini. Penglibatan korang hanya sebagai penonton dan menghayati perjalanan memberi acuan kepada golongan lelaki muda (17 hingga 30 tahun) dibentuk menjadi bakal pemimpin agama.
Malam ini Paknil akan bertindak sebagai pembuka tirai untuk program ini. Selebihnya? Kena tungggu lah!!

Monday, May 17, 2010

READ MALAYSIA 4-13 JUNE...JOM RAMAI-RAMAI!!!

Alhamdullillah setelah dilantik sebelum ini menjadi Duta Kanak-Kanak ASTRO dan Duta Bahasa DBP sempena dengan Anugerah Keterampilan Berbahasa di TV, Paknil kini dilantik menjadi duta untuk READ Malaysia pula yang bakal berlangsung di Mines Convention Centre pada 4-13 June ini.
Paknil harap dengan lantikan ini, Paknil akan dapat menarik minat golongan muda terutama kanak-kanak untuk membaca walaupun kita kita lebih senang mendapat maklumat melalui internet dan komputer.
Tujuan Paknil menyahut tawaran menjadi duta untuk READ Malaysia ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan anak-anak bangsa menyuarakan pendapat mereka seperti yang selalu Paknil perjuangkan. Paknil mahu anak-anak kita lebih yakin bersuara. Hanya dengan banyak membaca seseorang kanak-kanak itu lebih berani dan tidak ragu-ragu dalam memberi pendapat. Memang jauh berbeza kualiti masyarakat yang membaca dan masyarakat yang tidak membaca.
Jom kita ramai-ramai jayakan usaha lahirkan anak-anak yang terang fikiran dan bijak memberi pendapat. InsyaAllah.

Thursday, May 13, 2010

ALAHAI...TERSASUL PULAK!


Dalam masa 1 jam lagi Paknil akan ke udara untuk satu lagi sesi Riuh Pagi ERA. Harap-harap Paknil tidak akan tersasul lagi menyebut "Riuh Pagi Era bersama Aznil dan DIN BERAMBOI"!!!
Terjadi semasa Paknil bersama Zul Yahya di studio selasa lalu. Paknil harap Zul tak berkecil hati. Mungkin sebab dah terlalu biasa menyebut ayat itu selama satu setengah tahun, maka ia dah menjadi rutin biasa bagi Paknil setiap kali memulakan talkset.
Mungkin benar kata lagu Siti Fairuz : BILA KU RINDU, AKU TERSEBUT NAMA MU!!!
Al-Fatihah Buat Arwah Din Beramboi.

Friday, April 23, 2010

KINI KAU TIADA


Hari ini dah masuk hari ketiga Paknil mengendalikan slot Petang Di Era seorang diri dari pukul empat petang hingga lapan malam. Kalau selalunya sebelum ini Paknil mengendalikan Riuh Pagi Era bersama Arwah Din Beramboi menemani pendengar yang dalam perjalanan ke pejabat, kini Paknil menemani mereka ketika pulang dari pejabat pulak.
Pada hari pertama (21 April) bekerja, bergenang juga airmata Paknil kerana sudah biasa sebelum ini ada teman berceloteh di dalam studio tapi kini pendengar Era lah yang menjadi teman Paknil selama empat jam.
Terima kasih kerana sebaik mendengar suara Paknil ke udara, pendengar Era sudah menderu menyerbu talian telefon untuk memberi semangat kepada Paknil. Pelbagai pesanan yang dititipkan buat Paknil agar kembali bertenaga dan bersemangat meneruskan kehidupan.
Yang paling Paknil ingat ialah pesanan pendengar Era yang berpesan “Hidup ini ibarat askar berjuang. Jika seorang sahabat askar tumbang, kita tidak boleh ikut tumbang bersamanya malah harus bangkit dan berjuang terus-terusan”
Terima kasih atas pesanan ini dan akan Paknil ingat sampai bila-bila.
Semasa Paknil melangkah masuk studio Era pada hari pertama Paknil bertugas, Paknil dapat rasakan seolah Arwah Din ada bersama Paknil. Ada beberapa kali Paknil yang mengendalikan panel tertekan butang mikrofon Arwah kerana sudah terbiasa begitu ketika bertugas selama setahun setengah bersamanya dulu.
Setiap kali itu juga Paknil terkedu.InsyaAllah, Paknil akan biasakan diri dengan ketiadaan Arwah. Paknil harus selesakan diri dengan bekerja sendiri dan pada waktu yang berbeza. Harap pendengar Era akan terus memberi sokongan dan menerima cara berbeza Paknil ketika bersiaran. AL-FATIHAH