Friday, August 6, 2010

DOAKAN KESIHATAN PAKNIL

Wah! Lama betul Paknil tak update blog ini. Semuanya gara-gara kesibukan Paknil dengan kerja-kerja di Astro dan Era. Di samping itu Paknil juga turut terlibat dengan kempen Jom Ganyang Aedes anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia.



Di samping itu adalah jugak perkara peribadi yang terpaksa selesaikan. Antaranya adalah menguruskan kemasukan anak Paknil yang sulong Fifi ke University of Queensland Brisbane Australia dan Paknil juga berpindah rumah.
Bila kedua-duanya berlaku serentak memanglah tak menang tangan. Sekarang Fifi dah pun selamat belajar. Apartment pun sudah Paknil uruskan dan sekarang buat pertama kalinya Fifi berpisah jauh dari kami. Sedih gak sebab tak pernah Fifi sorang-sorang jauh dari kami tapi ini semua adalah proses membesar dan menjadi dewasa. Fifi kena berani dan tempuh semua cabarannya. Cuma Paknil harap dan berdoa agar Fifi sentiasa menjaga nama baik dan mendapat keputusan yang cemerlang.
Mengenai pindah rumah pulak, Paknil rasa kediaman Paknil kini selesa sedikit berbanding sebelum ini. Ada rezeki sikit untuk keselesaan keluarga. terima kasih kepada kumpulan Imam Muda yang turut bersama keluarga dan rakan Paknil untuk kenduri doa selamat yang kami anjurkan demi mengambil keberkatanNya.
Dalam pada itu, Paknil juga sibuk dengan rakaman dua rancangan tv baru untuk tontonan penonton TVIQ dan Astro Prima. Untuk TVIQ, Paknil bertindak sebagai pengacara untuk program CLEVER Edisi Malaysia. CLEVER adalah semua rancangan kuiz Sains untuk pelajar sekolah rendah. Seronok juga rancangan ini kerana ia turut disertai artis-artis popular seperti Adibah Nor, Iqram Dinzly, Sharifah Shahirah, Imuda dan ramai lagi.
Paknil sebenarnya yang sangat teruja dengan program ini kerana ia mengembalikan nostalgia Paknil ke zaman persekolahan. Lagi pun banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan kita di buktikan dengan aplikasi sains oleh pengacara Rafidah selaku saintis. Nantikan tayangannya di ASTRO TVIQ.
Di Astro Prima pula, semperna bulan Ramahan ini, adalah sebuah program yang diadaptasi dari segmen Merisik Khabar di Riuh Pagi Era. Kepada yang biasa mendengar cerita dan masalah pendengar Era di segmen itu pasti tahu bagaimana pada segmen itu Paknil bertindak sebagai pendengar kepada keluh kesah mereka yang bermasalah.

Namun kali ini, segmen itu dibesarkan dan diangkat ke tv pula. Semua berkat kehadiran penaja utama Revive Isotonic yang turut membantu meringankan masalah kes yang kami paparkan di tv dan di radio Era sepanjang bulan Ramdhan ini Isnin hingga Jumaat. Jadi sepanjang bulan puasa ini, anda semua dijemput untuk menonton program yang membawa seribu keinsafan kepada kita ini di samping mensyukuri kelebihan yang ada pada kita dan keluarga.
Juga, jangan lupa untuk hilangkan dahaga anda dengan membeli minuman Revive Isotonic dan Pepsi berukuran 1.5 litre kerana pada setiap pembelian anda, 10 sen akan disalurkan ke tabung Merisik Khabar.
Di samping itu juga, Paknil sangat sibuk menyelesaikan rakaman rancangan Hari Raya yang bakal ditayangkan di Astro Ria sempena musim perayaan hari raya tahun ini. Paknil terlibat sebagai pengacara untuk program Glamour Raya! Seronok rakaman ini kerana ia cuma berlaku untuk hari raya sahaja dan kali ini, semestinya pesertanya adalah orang ramai yang beriya berpakaian cantik ssempena hari raya dan mendendangkan lagu raya yang evergreen.

Selesai rakaman Glamour Raya, Paknil juga terlibat sebagai salah seorang selebriti Astro yang menjayakan Mega Raya 2010. Antara selebriti Astro lain yang turut terlibat adalah Anita Sarawak, Erra Fazira, Sarimah, Jimmy Shanley, AC Mizal, Farid Khamil dan Zoey. Paknil turut mendendangkan beberapa lagu raya termasuklah lagu duet bersama Kak Nita. Memang best sangat!

Paknil juga terpaksa membahagikan masa sibuk Paknil ini untuk turut sama membentuk kebolehan peserta Imam Muda dalam aspek berkomunikasi dan pengucapan. Semua ini adalah atas permintaan Astro Oasis sendiri yang mahu Paknil mengasah kebolehan bakal Imam Muda itu agar boleh bertutur dengan baik dan lancar. Bagi Paknil, mengajar mereka ini juga adalah seperti Jihad kerana Paknil lakukan sememangnya untuk jalan Allah dan menyibarkan lagi syiar Islam cara Paknil. Ini sahaja kelebihan dan bakat yang Allah anugerahkan buat Paknil dan Paknil rela menurunkan ilmu yang tidak seberapa ini kerana Nya.

Esok pula (7 Ogos) Paknil akan terlibat dengan kerja kempen membenteras denggi lagi iaitu Kempen Jom Ganyang Aedes! Kalau dulu Paknil berada di Kajang dan Cheras, besok Paknil berada di Gombak dan di flat Seri Selangor, KL.
Biar sesibuk mana sekalipun Paknil, Paknil sering mendapat pesanan dan doa daripada peminat Paknil agar Paknil terus menjaga kesihatan. Terima kasih pada semua. Doakan kesihatan Paknil eh...

Friday, July 9, 2010

GOTONG ROYONG GANYANG AEDES


InsyaAllah esok seawal jam 8pagi Paknil akan bersama-sama dengan penduduk di sekitar perkarangan Pasar Raya Bintang, Taman Kajang Mewah, Kajang Selangor bagi melakukan kerja gotong royong untuk mengganyang nyamuk aedes!
Ini adalah bersempena dengan kempen Jom Ganyang Aedes dan usaha mencegah demam denggi. Paknil sangat teruja untuk bersama-sama dengan penduduk setempat yang akan berkenal mesra dahulu sebelum kami sama-sama akan didedahkan tentang bahayanya demam denggi. Pastinya Paknil akan kongsi betapa sedihnya perasaan Paknil kehilangan rakan Paknil, Din Beramboi gara-gara diserang sakit demam denggi berdarah.
Turut akan turun padang adalah YB Dato' Sri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia. Paknil harap ramai yang akan berganding bahu untuk membersihkan kawasan rumah dan sekeliling mereka. Satu lagi acara yang Paknil sangat nantikan adalah kunjungan ke rumah penduduk setempat dan sekali gus melakukan demonstrasi membersihkan tempat-tempat potensi pembiakan jentik-jentik nyamuk.
Harap siapa yang berkesempatan, marilah kita sama-sama ke tempat yang Paknil maksudkan dan jangan ambil ringan tentang tugas memerangi denggi ini. Takkanlah sampai ahli keluarga kita menghidapi sakit itu baru kita ingin bertindak. Takut-takut nanti sudah terlambat.

Saturday, June 19, 2010

JOM BERSAMA PAKNIL KITA GANYANG AEDES!!!

Semalam secara rasmi, Paknil telah dilantik sebagai ikon anti denggi dalam kempen terbaru Kementerian Kesihatan "Jom Ganyang Aedes" bagi menangani wabak denggi.
Satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak telah berlangsung di bilik gerakan Kementerian Kesihatan BlokE7, Putrajaya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Bagi Paknil, penglibatan dalam kempen ini adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sosial kepada negara diharap mampu menarik minat komuniti setempat khususnya golongan remaja untuk turut sama membanteras denggi.
Paknil lihat pihak kementerian begitu bersepadu untuk mengadakan projek khas "Jom Ganyang Aedes" ini khusus untuk membasmi demam denggi secara serius, konsisten dan bersungguh-sungguh. Tugas Paknil pula adalah untuk memberi kesedaran dengan mengunjungi kawasan-kawasan hotspot, bersama bergotong royong dan melakukan kunjungan ke rumah-rumah masyarakat setempat member pemahaman mengenai pembiakan nyamuk aedes ini.
Terlanjur menulis entri ini, Paknil nak juga bagi tahu kepada semua bahawa kunci utama bagi mencegah demam denggi adalah dengan mengurangkan tempat pembiakan aedes sama ada di dalam atau di luar rumah kerana aktiviti semburan kabus atau fogging hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik.Jentik-jentik cuma mengambil masa seminggu sahaja untuk menjadi nyamuk dewasa dan sebab itulah jentik-jentik ini perlu dihapuskan dengan membersih rumah seminggu sekali.
Semua sedia maklum, Paknil terpanggil untuk bekerjasama dalam kempen ini adalah setelah kehilangan rakan baik yang juga rakan penyampai radeio Era Din Beramboi, yang meninggal dunia pada 1 April lalu akibat demam denggi berdarah.
Cukuplah kawan Paknil seorang menjadi mangsa seekor nyamuk. Paknil tidak mahu ia turut berlaku pada orang lain dan sebab itulah Paknil harap kita sama-sama lakukan tugas kita untuk GANYANG nyamuk puaka ini

Friday, June 4, 2010

JOM RAMAI RAMAI!!




Alhamdulillah. Masa dinanti sudah tiba. Majlis pelancaran READ Malaysia 2010. Majlis dilancarkan oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Wee Ka Siong tepat pukul 11 pagi tadi. Paknil selaku Duta READ Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kami.
Paknil harap pengunjung blog ini akan ramai-ramai memeriahkan lagi pameran buku ini kerana banyk manfaat yang boleh diperolehi daripada pameran sebegini. Musim cuti sekolah ini, Paknil ingin minta kerjasama ibubapa semua untuk membawa anak-anak mereka ke sana.
Esok (5 Jun) pukul 3 petang, Paknil akan sekali lagi bersama pengunjung-pengunjung di sana terutama anak-anak yang kan bersama-sama dengan Paknil. Banyak aktiviti yang akan Paknil lakukan bersama mereka!
Dalam pada itu, Paknil juga akan buat lawatan mengejut dari semasa ke semasa tanpa ada pengumuman. Tup tup nanti Paknil muncul aje!
Hari ni tak ramai lagi mungkin kebanyakannya masih bersekolah dan ibubapa bekerja. InsyaAllah hujung minggu ini dan hari-hari selepasnya, kami jangkakan lebih 400 ribu pengunjung akan datang. Jumpa di sana sana sana!!!!

Friday, May 28, 2010

CEWAH!!! IMAM MUDA LAH PULAK!!!!!

Muda ke? Hehehe
Jangan lupa untuk menonton Imam Muda di empat saluran melayu di Astro ie ASTRO Ria, Prima, Oasis dan @15 malam ini kul 9mlm. Paknil ada juga terlibat dengan program pencarian lelaki pertama di dunia untuk dijadikan Imam.
Kalau nak tahu apa agaknya peranan Paknil dalam siri Imam Muda ni, kenalah tonton. Imam muda ni tak ada SMS tau, jadi korang kena akur dengan setiap keputusan yang dilakukan oleh rancangan ini. Penglibatan korang hanya sebagai penonton dan menghayati perjalanan memberi acuan kepada golongan lelaki muda (17 hingga 30 tahun) dibentuk menjadi bakal pemimpin agama.
Malam ini Paknil akan bertindak sebagai pembuka tirai untuk program ini. Selebihnya? Kena tungggu lah!!

Monday, May 17, 2010

READ MALAYSIA 4-13 JUNE...JOM RAMAI-RAMAI!!!

Alhamdullillah setelah dilantik sebelum ini menjadi Duta Kanak-Kanak ASTRO dan Duta Bahasa DBP sempena dengan Anugerah Keterampilan Berbahasa di TV, Paknil kini dilantik menjadi duta untuk READ Malaysia pula yang bakal berlangsung di Mines Convention Centre pada 4-13 June ini.
Paknil harap dengan lantikan ini, Paknil akan dapat menarik minat golongan muda terutama kanak-kanak untuk membaca walaupun kita kita lebih senang mendapat maklumat melalui internet dan komputer.
Tujuan Paknil menyahut tawaran menjadi duta untuk READ Malaysia ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan anak-anak bangsa menyuarakan pendapat mereka seperti yang selalu Paknil perjuangkan. Paknil mahu anak-anak kita lebih yakin bersuara. Hanya dengan banyak membaca seseorang kanak-kanak itu lebih berani dan tidak ragu-ragu dalam memberi pendapat. Memang jauh berbeza kualiti masyarakat yang membaca dan masyarakat yang tidak membaca.
Jom kita ramai-ramai jayakan usaha lahirkan anak-anak yang terang fikiran dan bijak memberi pendapat. InsyaAllah.

Thursday, May 13, 2010

ALAHAI...TERSASUL PULAK!


Dalam masa 1 jam lagi Paknil akan ke udara untuk satu lagi sesi Riuh Pagi ERA. Harap-harap Paknil tidak akan tersasul lagi menyebut "Riuh Pagi Era bersama Aznil dan DIN BERAMBOI"!!!
Terjadi semasa Paknil bersama Zul Yahya di studio selasa lalu. Paknil harap Zul tak berkecil hati. Mungkin sebab dah terlalu biasa menyebut ayat itu selama satu setengah tahun, maka ia dah menjadi rutin biasa bagi Paknil setiap kali memulakan talkset.
Mungkin benar kata lagu Siti Fairuz : BILA KU RINDU, AKU TERSEBUT NAMA MU!!!
Al-Fatihah Buat Arwah Din Beramboi.