Monday, August 31, 2009

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Hari ini merupakan Hari Kebangsaan negara kita yang ke 52 tahun! Diam tak diam ini bermakna sudah 52 tahun penjajah Inggeris meninggalkan negara kita.
Kalau nak diikutkan, sebenarnya negara kita ini dapat membangun dan mengisi kemerdekaan dengan pelbagai kejayaan dalam masa yang agak singkat!
Bayangkan, dalam hanya 52 tahun negara kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju di dunia.
Negara kita cepat betul bergerak untuk seiringan dengan kemajuan. Amerika Syarikat dan Jepun sendiri mengambil masa yang panjang sebelum ia semaju hari ini.
Bukanlah Paknil nak bandingkan kemajuan mereka tetapi dengan apa yang ada pada hari ini di negara kita, Paknil rasa kita bukanlah dalam kategori negara yang ketinggalan.
Syabas kepada pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu sehinggalah sekarang. Dari pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan sehinggalah pemimpin yang mengisi kemerdekaan.
Kalau nak diikutkan, sebenarnya Paknil dilahirkan ketika negara kita baru 5 tahun mengecapi kemerdekaan. Tentunya ketika itu rakyat negara ini masih terkapai-kapai menguruskan negara ini dengan sumber yang banyak telah dicabul oleh pihak penjajah.
Paknil pasti, ketika itu Inggeris hanya mahu bersetuju untuk melepaskan negara ini setelah banyak hasil bumi negara ini puas diratah dan dikaut pulang ke negara asal mereka.
Nasib baik mereka tidak menemui minyak ketika mereka masih berkuasa. Jika tidak, Paknil pasti kita masih lagi di bawah jajahan mereka.
Sejak dari kecil Paknil yang dibesarkan di kota Kuala Lumpur ini didedahkan dengan banyak kesan-kesan peninggalan British. Paknil masih ingat pakcik dan makcik Paknil yang berkelulusan MCE (Malaysian Certificate of Education) yang setaraf dengan O Level (Ordinary Level) dan HSC (Highest School Certificate) yang setaraf dengan A Level (Advance Level) di England.
Begitu juga dengan jalan-jalan di Kuala Lumpur ini. Semuanya berbau barat dan kami ketika itu seperti berada di bumi Inggeris pula.
Ada Forch Avenue (Lebuh Ampang kini), Malacca Street (Jalan Melaka kini), Circular Road (Jalan Pekeliling yang kini Jalan Tun Abd Razak), Princess Road (Jalan Raja Muda kini), Jalan Parry (Jalan P.Ramlee kini), Weld Road (Jalan Raja Chulan kini) dan banyak lagi.
Ketika itu juga nama-nama sekolah seperti St John, Victoria Institution, Convent, La Salle dan seumpamanya dilihat sebagai sekolah pilihan masyarakat ketika itu.
Mungkin kerana itu adalah antara sekolah sirkular yang terawal muncul di sini. Ada yang masih menyanyikan lagu kebangsaan England, ‘God Save The Queen’ ketika itu.
Rata-rata rakyat negara ini ketika itu lebih selesa berbicara menggunakan bahasa Inggeris dan boleh dikatakan ada yang bercakap seperti orang Inggeris! Itu belum lagi Paknil ceritakan cara hidup masyarakat kita ketika itu.
Minuman arak, parti, fesyen, lumba kuda, kabaret, panggilan Sir dan Madam seperti menjadi lumrah masyarakat kita.
Paknil masih ingat lagi ketika di awal persekolahan Paknil, Pakaian seragam sekolah Paknil juga seperti pelajar-pelajar inggeris yang mana seluar pendeknya siap dikanji dahulu sebelum dikenakan.
Ketika di sekolah rendah juga sekitar tahun 1969, setelah 12 tahun kita merdeka, sistem pelajaran kita masih lagi berkiblatkan negara Union Jack itu.
Paknil masih ingat juga, kami di sekolah diajar untuk mengenang Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja Lela, Si Puntum dan ramai pahlawan melayu yang lain sebagai pembunuh, penderhaka, pengganas dan penjenayah.
Bagi kami ketika itu, nama seperti JW Birch, Stamford Raffles, Frank Swettenham, Francis Light adalah hero dan penyelamat bangsa kami. Ini semua dapat Paknil ingat terutama ketika mentelaah buku teks sejarah ketika itu.
Sejarah dilihat pada sudut kaca mata Inggeris dan sememangnya mereka mahu dikenang sebegitu.
Namun kerajaan kita bingkas bangun dan tidak terus khayal dalam cerita fantasi yang ditinggalkan oleh bangsa penjajah ini.
Sejarah negara kita diperbetulkan dan diletakkan pada paksi yang sebenar. Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja Lela dan Si Puntum dijulang sebagai pahlawan melayu dan hero kita.
Semenjak daripada itu, kita mula membebaskan diri kita dari akidah dan budaya penjajah.
Agama Islam yang ketika penjajahan Inggeris dipinggirkan, kini dijadikan teras pembangunan negara. Kita mula cerdik untuk membangun mengikut acuan budaya dan agama kita.
Walaupun kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, tetapi ada perjanjian kaum yang kita julang. Kita hidup dalam harmoni, saling menghormati dan tiada kaum yang rasa terancam.
Kita bebas mengamalkan amalan budaya dan agama kita. Bebas mencari rezeki dengan persaingan yang sihat. Bebas membuat keputusan untuk diri dan bangsa kita.
Dalam pada itu, Paknil juga menjadi saksi kepada kekalutan kaum yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969. Ketika itu Paknil baru masuk darjah satu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Jalan Raja Muda (2), Kuala Lumpur.
Dari tingkap sekolah Paknil yang lokasinya berdekatan dengan pusat nadi Jalan Chow Kit, Paknil dapat saksikan demonstrasi demi demonstrasi dianjurkan. Hubungan kaum jadi tegang dan inilah juga yang mencetuskan rusuhan besar itu.
Ramai yang terkorban dari pelbagai kaum. Akhirnya kerajaan terpaksa mengistiharkan darurat dan Negara diletakkan dibawah pemerintahan MEGERAN.
Walaupun Paknil ketika itu baru di darjah satu, tetapi bagi Paknil, itu adalah salah satu insiden yang akan terus menghantui Paknil kerana ia memang amat menggerunkan.
Kami diletakkan dibawah perintah berkurung dan terpaksa tidur awal. Disamping itu sekolah dan banyak pejabat ditutup. Makanan juga dicatur kerana ada pihak yang mengambil kesempatan menyorok bahan makanan.
Paknil begitu insaf dengan kejadian itu dan menjadi trauma apabila menyaksikan demonstrasi dan rusuhan.
Paknil sangkakan trauma itu sudah berlalu kerana negara kita aman damai untuk satu jangka masa yang panjang apabila kerajaan mengetatkan kebenaran berkumpul.
Namun, sejak pergerakan Reformasi dianjurkan dan demonstrasi jalanan semakin galak dianjurkan, trauma itu kembali. Makin menakutkan apabila visual kejadian itu tidak dikawal dan disaring sebelum ia disiarkan di televisyen, akhbar dan internet.
Paknil ingin ingatkan kepada anak-anak Malaysia generasi baru ini agar percaya kepada kata-kata Paknil bahawa negara akan lumpuh jika ia berterusan. Paknil adalah saksi hidup kepada kejadian yang melumpuhkan negara 40 tahun dahulu.
Paknil tidak mahu anak-anak semua laluinya sebab kami dan ibubapa kami telah berikrar agar menjaga kerukunan ini. Kami tak mahu kamu semua melalui getir yang pernah kami lalui apa lagi yang dilalui oleh atok nenek kami.
Kami beri kamu pelajaran untuk kesenangan kamu dan agar kamu semua bijak berfikir. Bijak mencatur kehidupan dengan perbincangan intelektual.
Kepandaian yang diraih bukan untuk kamu mengambil langkah lapuk yang tidak relevan lagi di zaman serba maju ini.
Kita semua boleh berbicara dengan menggunakan satu bahasa iaitu Bahasa Malaysia. Jadi, masalah jurang komunikasi tidak timbul dan tiada sebab mengapa komunikasi berkesan tidak boleh dijadikan alat penghubung perbezaan pendapat.
Paknil tiada kepentingan politik bila memberi pendapat ini tetapi Paknil mempunyai kepentingan keamanan. Paknil mewakili anak-anak Tom Tom Bak yang mahukan taman permainan yang bebas kekacauan.
Paknil runsing bila anak-anak Malaysia didedahkan dengan perbuatan menyerang polis dan menyerang orang awam seolah perbuatan itu dihalalkan ibubapa mereka.
Lebih menyedihkan bila anak-anak kita diajar dengan perbuatan memaki, mencarut dan menyerang di kalangan YB di Parlimen.
Jika ini dilihat sebagai ‘halal’ dan dilakukan sendiri oleh pemimpin, maka tidak hairanlah jika anak-anak kita mengambil itu sebagai ikutan yang sahih. Nauzubillah.
Malaysia, payungkanlah anak-anak ku ini dari anasir-anasir kurang sihat ini. Biarkanlah mereka membesar dengan cara dan acuan kita.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 52.

Tuesday, August 25, 2009

EKSKLUSIF UNTUK KORANG GAK!!



Memang tak pernah dibuat orang tapi idea senget Paknil dah bertambah hari ni. Secara eksklusif Paknil nak siarkan gambar yang TAK JADI yang diambil oleh pembantu Paknil semasa sesi fotografi muka depan ASTROVIEW!
p/s : Bulan-bulan puasa ni ade je idea tak betul yang muncul....

AIK....!!!! DAH RAYA DULU????

Aha! Sesiapa yang menjadi pelanggan ASTRO akan dikejutkan dengan isu ASTROVIEW Hari Raya dengan wajah Paknil.
Sebenarnya, gambar tu diambil sejak sebelum puasa lagi dan kalau korang perasan baju melayu tu sebenarnya 'recycle'! (Cuba teka kat mana????)
Tak kisahlah kan...Paknil malas nak buang duit beli baju baru sebab Paknil pakai baju tu baru sekali aje.
Lebih-lebih lagi bila diamond2 tu Paknil sendiri yang lekatkan...jadi mestilah Paknil nak eksyen abis-abisan kan!
Buat semua pembaca ASTROVIEW, kat dalam itu ada macam -macam cerita raya dan yang bukan raya. Semoga korang dapat panduan waktu dan tarikh sebenar tayangan rancangan Raya Paknil dan terbitan Astro yang lain.
Terima Kasih kepada pihak pengarang ASTROVIEW kerana memilih Paknil untuk menghiasi muka depan majalah itu musim raya kali ini.
Paknil nak beli banyak-banyak majalah ni n nak jadikan ia sebagai pengganti kad raya tahun ni. Apa kata korang??? Senget tak idea ni?

Saturday, August 22, 2009

SALAM RAMADHAN

Assalamualaikum
Sempena dengan Ramadhan tahun ini yang bermula hari ini, Paknil ingin mengambil kesempatan ini mendoakan agar kita semua mendapat kesempurnaan dalam melakukan ibadah puasa.
Marilah kita menuju kejayaan dengan menghayati fadhilat yang dijanjikan dibulan yang mulia ini dengan melakukan ibadah-ibadah dan amalan-amalan yang dituntut.
Semoga kita beroleh kerahmatan daripada Nya dan tergolong di dalam golongan orang-orang yang tidak leka. AMIN

Monday, August 17, 2009

SELINGAN

Paknil cukup terpikat dengan kartun kat bawah ni. Paknil pun dah lupa siapa yang forward kat email Paknil ari tu. Jadi, sementara Paknil update cerita terbaru Paknil, apa kata kowrang enjoy kartun ni dan kalau rajin komenlah! Luv U!!!!

Thursday, August 13, 2009

AL-FATIHAH

Satu lagi kejutan menggegarkan industri hiburan tanahair apabila penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.Arwah dikatakan meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa sidang media di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira 10.30 pagi tadi.
Paknil amat menyanjung budi pekerti Arwah yang sentiasa tersenyum dan tidak pernah menilai seseorang dari luaran. Sememangnya Arwah juga adalah sebab mengapa irama nasyid terus bertahan sehingga kini kerana tidak pernah rasa lelah walaupun satu demi satu kumpulan nasyid terkubur.
Semestinya kita akan merasa kehilangannya dan suara merdu Allahyarham Ustaz Asri akan tiada penggantinya. Semoga roh Allahyarham diletakkan bersama-sama umat yang soleh di sisi Nya. Amin.

Friday, August 7, 2009

RAYA! RAYA! RAYA!

Setiap kali tiba perayaan Hari Raya, stesen TV adalah antara yang paling sibuk untuk menarik minat penonton. Pelbagai rancangan raya yang dijanjikan untuk penonton setianya.
ASTRO juga tidak ketinggalan. Paknil pun turut terbabit sama! Itulah keseronokan bekerja di stesen tv sebab kami awal2 lagi dah merasakan kemeriahan Aidil Fitri.
Kitoranglah antara rakyat Malaysia yang terlebih awal mendendangkan lagu raya dan berpakaian raya. Yelah, kitorang kena siapkan rakaman sebelum bulan puasa. Tiba bulan puasa, Paknil akan sibuk untuk kerja-kerja suntingan pulak!
Tapi elok gak rancangan ini dibuat sebelum bulan Ramadhan. Taklah terganggu puasa dan terawih. Ok lah Paknil cerita serba ringkas mengenai rancangan Raya kelolaan Paknil.

JANGAN LUPA LIRIK- RAYA RAYA RAYA!
Rancangan ini meriah gak sebab yang ambik bahagian semua artis yang sporting tak hengat. Ada Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek, Adibah Nor dan Amy Mastura!

Mereka berusaha mendapatkan seberapa banyak wang dengan menyanyikan lagu-lagu raya popular. Wang yang berjaya dikutip didermakan ke rumah kebajikan.

Kira hebat jugak mereka ni nyanyi lagu yang hanya mereka dengar setahun sekali tapi yang pasti, gamat jugaklah pentas. Penonton yang hadir pun siap join skali!

MACAM MACAM AZNIL RAYA

Rancangan ini juga merupakan episod khas Macam Macam Aznil edisi Hari Raya yang bakal bersiaran selama 1 jam setengah. Artis undangan episode ini adalah Sarimah Ibrahim dan Edry KRU.
Seronok jugak rakaman episode khas ni sebab konsep MMA Raya tak serupa dengan MMA mingguan. MMA Raya banyak membawa artis dan penonton bersaing dalam beberapa permainan seperti Balik Kampung (Segmen Packing Baju), Segmen Drama Sebabak (Bersama Din Beramboi) dan Segmen Lawan Makan.
Bila Din Beramboi dah masuk campur, keadaan memang jadi kucar kacir!


GLAMOR RAYA!

Masih lagi mengekalkan konsep nyanyian lagu-lagu raya secara spontan, Glamour Raya tahun ini masih lagi meriah seperti tahun lepas.
Kalau tahun lepas pemenangnya adalah OPAH GLAMOR, tahun ini siapa pulak eh? Kena lah tunggu.
Yang penting peserta dan penonton yang datang bersiap sakan sebab diorang juga bakal memenangi hadiah duit raya!
Pecah perut juga bila ada peserta yang baru nyanyi tapi siren dah berbunyi gara gara sumbang atau terlupa lirik!

Cukuplah Paknil bagi hint sikit-sikit. Nanti Paknil update tarikh siarannya di Hari Raya nanti ok….tatatititutu!!

Sunday, August 2, 2009

KERJA BARU PAKNIL

Aduh!Penat betul kerja jadi doorman di Hotel Crowne Plaza ni. Ramai betul tetamu yang keluar masuk. Kalau dikira, selama 8 jam bekerja ada jugak lebih kurang 5,000 orang! Yang paling letih kerana Paknil tak boleh duduk langsung dan sentiasa kena senyum. Yelah, perkhidmatan ini adalah mementingkan pelanggan dan tentunya senyuman dan budi bahasa itu memainkan peranan yang amat penting.
Dah lah sejak pukul 4 pagi lagi Paknil dah bersiap sedia untuk ke konti ERA. Selesai kerja kena pulak selesaikan hal ehwal kerja produksi di tv. Selesai sahaja kerja itu, Paknil terpaksa bergegas ke Hotel pula untuk memulakan tugas Doorman. Macam tulah caranya Paknil kerja untuk cari duit dan untuk hidup.
Jadi maaflah kalau blog ini agak terlewat Paknil update. Faham jelah, ekonomi dunia pun belum pulih juga dan kita kena kerja keras untuk meneruskan kehidupan. Kalau ada di antara yang singgah ke Hotel itu, senyum-senyum lah dengan kami yang menyambut anda ok!