Assalamualaikum.
Pertama sekali, Paknil ingin memohon maaf sebab dah lama tak update blog ini. Jadual Paknil agak ketat sikit akhir-akhir ini. Harap2 geng semua dapat maafkan Paknil dan terima kasih sebab terus-terusan menjengok ke laman blog ini.
Ini adalah certita yang Paknil terhutang dengan korang semua. Kisah Shamsulkifli Bin Mohd Bashah. Baru berusia 19 tahun tetapi telah melalui cabaran hebat dalam kehidupan. Sejak berusia 15 tahun, Shamsul cuma melihat dengan menggunakan mata sebelah kanannya sahaja apabila mata kirinya menjadi buta.
Ketika itu, Shamsul tetap melalui kehidupan seperti remaja lain, bersekolah dan berkawan-kawan. Kebahagiaan yang sedikit ada padanya sedikit demi sedikit diragut apabila bonda tercintanya tiba-tiba rebah dan meninggal dunia November lalu. Ketika itu, Shamsul rasa seperti hilang arah dan punca lebih-lebih lagi apabila ibunyalah yang merupakan pencari rezeki tunggal keluarganya. Ayah Shamsul adalah seorang OKU melihat (buta).
Setelah kehilangan ibunya, Shamsullah yang menjaga ayahnya sepenuh masa dan abangnya mula pertama kali mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan gaji yang tak seberapa. Ayahnya cuma mendapat bantuan JKM sebanyak RM250 sebulan.
Lebih memedihkan apabila mata sebelah kanan Shamsul pula kini hari demi hari kian gelap. Menurut Doktor, urat yang melekat dibelakang mata Shamsul kian tertanggal. Dan apabila itu berlaku, Shamsul akan jadi OKU melihat (buta) selamanya.
Walaupun nanti ada insan yang ingin menderma organ mata kepadanya, menurut Doktor, ia tidak dapat mengembalikan penglihatannya kembali.
Shamsul kini bagai hilang keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan. Dia tidak boleh membaca lagi dan ini bermakna dia tidak dapat meneruskan pelajaran ke jurusan Multimedia seperti yang diidamkannya. Kini Shamsul banyak menyendiri di rumah sedangkan kawan-kawan seusianya sudah melanjutkan pelajaran ke IPTA.
Oleh kerana sering berada di rumah, Shamsul menjadikan Riuh Pagi Era sebagai teman. Keriuhan dan jenaka Paknil dan Din Beramboi rupanya menjadi penghibur Shamsul. Shamsul tertarik dengan Merisik Khabar dan terpanggil untuk mengadu keadaan dirinya pada Paknil.
Mungkin rezeki Shamsul, Paknil menghubunginya sehingga Paknil terpanggil untuk membantunya. Apabila Paknil diumumkan sebagai pemenang tempat kedua pertandingan Revive Isotonic dan menerima hadiah RM2,000, Paknil terus terfikir untuk menyerahkan kepadanya.
Rupanya cerita Paknil ingin membantu Shamsul turut mendapat perhatian pengeluar Revive Isotonic, Permanis Sandilands Sdn Bhd dan menambah RM5,000 lagi buat Shamsul.
Maka Paknil aturkan pertemuan Shamsul dengan wakil Permanis di studio Era dan di situ juga pertama kali Paknil bertemu Shamsul yang datang bersama ayahnya. Pilu hati Paknil melihat nasib dua beranak ini.
Tak mampu Paknil bayangkan derita yang mereka tanggung lebih-lebih lagi dengan Shamsul yang lebih muda usianya dari anak sulong Paknil. Aduhai…menitis airmata Paknil.
Harap2 dengan bantuan RM7,000 dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban Shamsul dan sebagai pembuka bantuan untuk Shamsul.
Semoga Shamsul tabah lalui dugaan Tuhan ini. Amin