Tuesday, August 4, 2015
Sunday, March 8, 2015
Perginya Abang Harun Salim Bachik
Harun Salim Bachik yang Paknil kenal adalah seorang yang selalu menggunakan nada yang lembut bila bercakap. Tak pernah meninggikan suara. Paknil kenal dengan Allahyarham sejak kami sama2 bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu PonyCanyon Records 20 tahun yang lalu. Sering kami buat promosi bersama-sama.
Beliau sangat berbakat bukan sahaja dalam bidang nyanyian tetapi dalam bidang lakonan dan lawak. Paknil pernah berlakon dengan Abang Harun dalam filem HoreHore. Beliau berlakon sebagai suami Adibah Nor. Ketika menunggu untuk beraksi depan kamera, paknil sempat berborak dengan Abang Harun dan seperti biasa dia sangat tenang orangnya. Walaupun terpaksa menunggu lama, dia tak pernah merungut dan tak lokek untuk berkongsi ilmu.
Semasa Paknil bersama rakan-rakan Hero Malaya membuat kerja amal mengutip derma untuk membatu Bob Kuman di Carrefore Wangsa Maju suatu ketika dahulu, beliau selaku Presiden Seniman ketika itu sempat turun dan memberi semangat kepada kami. Paknil masih teringat pesan beliau,"Bagus dik! Tahniah! Teruskan kerja sebegini. Abang tabiklah" sambil menepuk2 belakang bahu Paknil.
Hari ini 8 Mac 2015, Abang Harun Salim Bachik, 55, telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga Allah menghimpunkan Abang bersama-sama orang yang Solleh di sisiNya. Amin. AlFatihah.
Sunday, February 15, 2015
Terima Kasih EraFM
Sempena Hari Radio Sedunia 13 Februari lalu Paknil teringat akan keseronokan bekerja di radio suatu ketika dahulu.
Sebenarnya menjadi penyampai radio bukanlah sesuatu yang Paknil mimpikan tetapi Alhamdulillah rezeki itu datang di depan mata.
Paknil mula berjinak-jinak jadi penyampai EraFM secara sambilan apabila mengendalikan Carta Era bersama Nana Mahazan dalam tahun 2004. Ketika itu cuma seminggu sekali sahaja.
Makin lama Paknil mengendalikan Carta Era, Paknil rasa terpanggil untuk belajar untuk mengendalikan 'mesin pengadun suara' yang sering dilakukan oleh kebanyakan DJ. Sebenarnya ketika bertugas di RedFM dulu pernah lah Paknil lakukannya tetapi kini ia makin canggih dengan kehadiran komputer dan sistem edit segera!Apabila keinginan Paknil ini disuarakan pada Pak Tam yang ketika itu mengendalikan EraFM, terus Paknil diserap menjadi keluarga tetap Era dan bertugas di slot 10pagi hingga 1petang. Walaupun hanya tiga jam sehari Isnin hingga Jumaat, Paknil merasakan suatu pengalaman yang berbeza. Ini kerana Paknil dapat berinteraksi dengan pemanggil-pemanggil yang kebanyakan mempunyai kerenah yang berbeza. Ketika itulah nama-nama seperti Mak Long, Kak Leha, Azwan dan ramai lagi. Seronok berborak dengan mereka terutama bila Paknil mengutarakan topik-topik yang menarik minat mereka. Lebih menyeronokkan apabila slot Paknil mendapat perhatian penaja dan ketika itu Celcom merupakan penaja pertama yang percaya pada kemampuan Paknil. Tak cukup dengan itu, slot ini menunjukkan peningkatan jumlah pendengar.
Pada penghujung tahun 2008, Paknil ditawarkan untuk mengendalikan segmen pagi pula. Pada awalnya Paknil agak ragu-ragu dengan kemampuan Paknil kerana slot 6-10pagi merupakan slot tunjang dikebanyakan stesen radio. Paknil minta masa untuk Paknil fikirkan tawaran itu, kerana Paknil juga ingin memberi tumpuan kepada ibadah Haji yang ingin Paknil lakukan.
Di Tanah suci juga Paknil berdoa agar Tuhan membuka hati Paknil untuk peluang yang mendatang. Dan ketika itulah Paknil tergerak hati untuk menerina tawaran EraFm menjadi penyampai pagi pula.
Paknil dipasangkan bersama Din Beramboi kawan lama Paknil. Kami memulakan tugas pada 2 Januari 2009 bersesuaian dengan permulaan sesi persekolahan yang baru. Kami siap pakai baju sekolah lagi ke studio!!
Bekerja dengan Din Beramboi memang merupakan cabaran yang lain pula kerana Din cuma berminat untuk membuat lawak sahaja dan Paknil mengimbanginya dengan penyampaian fakta dan informasi.
Banyak segmen yang kami perkenalkan. Antaranya adalah Berita Cara Kami, Best Dress, Drama Sebabak, Sawancara dan Merisik Khabar.
Yang seronoknya bila segmen-segmen itu menjadi suatu yang dinantikab setiap Isnin hingga Jumaat.
Ada yang ketawa sorang-sorang dalam kereta, ada yang sanggup tunggu dalam kereta di car park sebelum masuk pejabat dan ada pelajar yang curi-curi mendengar di dalam kelas dan kuliah!
Namun langit tidak selalu cerah. Tiba-tiba pasangan Riuh Pagi Era Paknil terkena demam denggi sehingga meragut nyawanya.
Seakan terhenti juga nadi Paknil apabila menerima panggilan pada jam 12:15pagi 2 April 2010 mengkhabarkan permergian Din Beramboi ke Rahmatullah.
Satu kehilangan besar buat Paknil, EraFM dan pendengar sehinggakan Paknil menyuarakan hasrat untuk tidak meneruskan kerja Paknil sebagai penyampai Era.
Namun pihak Era meminta Paknil bercuti dahulu menenangkan fikiran sebelum kembali bertugas.
Tidak lama kemudian Paknil batalkan hasrat untuk berhenti terutama apabila disuntik dengan dua tenaga muda, Hanif dan Ray! Sekali lagi kembali riuh pagi kami di EraFM.
Dengan segmen Can I Help You, kami menjadi sebutan semula!! Juga masih dikekalkan ialah segmen Merisik Khabar. Di segmen inilah Paknil didedahkan pada pelbagai masalah pendengar. Yang sakit, yang berselisih faham, yang miskin, yang merajuk dan pelbagai lagi.
Pernah ada ketikanya, kami rasa puas membantu kerana mendapat tajaan dari syarikat besar seperti Pepsi dan Revive di bulan Ramadhan.
Dan ada ketikanya Paknil menggunakan wang sendiri untuk menolong selain memberikan nasihat dan motivasi.
Pada suatu hari kami bersiaran, kami dikejutkan dengan panggilan dari seorang remaja yang mengadu kesempitan hidupnya dihimpit Along. Keresahannya itu mengheret hasratnya untuk membunuh diri. Secara tiba2 terpancul di mulut Paknil untuk menjelaskan hutang pemuda itu agar dia tidak meragut nyawanya sendiri.
Paknil sebenarnya mahu cerita ini dirahsiakan tetapi pemuda itu sendiri yang menghubungi pihak media menceritakan bantuan Paknil itu.
Paknil terpaksa membuka mulut kerana dikejar pihak media. Takpelah, mungkin dapat dijadikan teladan dan bukan untuk riak!
Turut menjadi kenangan manis Paknil, Hanif dan Ray adalah apabila Paknil sempat kidnap Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Abd Razak ke studio Era. Ketika itu PM menjadi tetamu untuk MixFM dan HitzFM.
Dalam perjalanan PM untuk berangkat pulang, Paknil bingkas menjemput PM untuk masuk ke studio Era. Alhamdulillah jemputan kami tidak ditolak dan kami bertiga mengigil menemubual PM secara spontan!! Wow!!!
Paling manis juga apabila Era turut berhempas pulas membantu menjayakan konsert Paknil!
Konsert yang diberi nama Hore Hore ini adalah suatu yang memeranjatkan ramai pihak kerana belum pernah sebelum ini seorang pengacara dan penyampai radio mengadakan konsert peribadinya. Cita-cita Paknil tidak dilihat sebagai sesuatu yang mustahil.
Alhamdulillah. Era telah mengarahkan seluruh jentera kerjanya turun padang yang akhirnya menyaksikan kehadiran lebih 10 ribu penonton di Taman Tasik Titiwangsa dan konsert 3jam itu berjalan dengan jayanya! Satu rekod terbaik buat Paknil!
Tidak berhenti di situ, EraFM turut membuka peluang untuk Paknil terlibat sebagai wajah yang menghiasi stem di Malaysia!
Tidak dapat Paknil bayangkan betapa besarnya perasaan Paknil ketika itu apabila melihat wajah Paknil diabadikan di stem dan poskad Pos Malaysia!!
Terima kasih kepada pengurusan EraFM pkerana meletakkan Paknil setinggi itu.
Sesungguhnya bertepatan lah jika EraFM bukan sahaja bertakhta sebagai radio nombor 1 di hati Paknil tetapi juga di hati rakyat Malaysia!!
Saturday, February 14, 2015
Selamat Malam
Semoga tidur kita ditenangkan. Seandai dijemput waktu tidor, biarlah ia didalam iman. Seandai dipanjangkan ke keesokan hari, biarlah lebih beriman. Amin
Thursday, February 12, 2015
Percubaan Untuk Kembali
Assalamualaikum,
Paknil dah lama tinggalkan alam blogging ini tetapi setelah bertemu dengan ramai Blogger semasa acara #MariBerjumpa PM DS Najib baru2 ni, terbuka balik hasrat ini.
Dengan kecanggihan yang ada dihujung jari sekarang ini, Paknil cuba kembali aktif.
Subscribe to:
Posts (Atom)