Semalam, 12 March 2008 adalah Hari Buah Pinggang Sedunia. Dan semalam juga Paknil bersama dengan penyampai radio THR, Lite.Fm, Hitz.Fm, X-Fresh dan Mix.Fm berada di Hospital Serdang melakukan kerja amal membantu mengumpul wang untuk dana Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).
Kami di sana menjual barangan cenderahati MUG yang ada lakaran wajah kami pada harga hanya RM20. Setiba Paknil di sana, memang tak ramai yang memberi perhatian pada kaunter kami yang terletak di pintu masuk hospital.
Mungkin semua sibuk dengan urusan di hospital itu. Apabila pembesar suara telah berada di tangan Paknil, Paknil tak lepas peluang untuk membuat jualan Mug itu seperti di pasar malam pula gamaknya.
Yang tak perasan kehadiran kaunter ini pada awalnya dah mula mengalihkan perhatian pada kami. Paknil sibuklah menjerit untuk orang ramai menderma dengan membeli Mug kami. Yelah, mungkin tak ada siapa yang memerlukan Mug ketika itu, jadi sambutannya agak dingin.
Makin lama makin ramai orang yang mengerumuni Paknil dan kawan-kawan. Ada yang mengambil gambar Paknil melalui handphone mereka dari jauh.
Terus Paknil dapat satu idea. Paknil terus laungkan, jika mereka mahu bergambar dengan Paknil secara berdua dan personal, Paknil akan kenakan bayaran RM20 dan Paknil juga akan serahkan Mug itu’percuma’!
Jadi untuk mengelak orang ramai mengambil gambar Paknil percuma, Paknil terpaksa melelong sesi berfoto itu dengan membelakangkan mereka. Hanya mereka yang menderma RM 20 kepada NKF berpeluang bergambar dengan Paknil. Kelakar lah pulak buat kerja macam tu.
Alhamdulillah. Kurang dari setengah jam semua Mug itu selesai dijual kerana ramai yang tak putus-putus menghulurkan RM20 untuk bergambar dengan Paknil.
Minta maaflah pada pengunjung Hospital Serdang hari itu yang tidak dapat bergambar dengan Paknil kerana Paknil terpaksa menjadikan diri Paknil ini eksklusif semata-mata untuk menjual Mug dan mengisi dana NKF.
Terima kasih juga pada mereka yang faham akan tujuan kami ke situ dan sekali gus sudi bergambar dengan Paknil dan mengulurkan derma untuk Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia.
Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa mereka kerana setiap wang disumbangkan dapat menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit buah pinggang di negara kita.Terima kasih kepada NKF kerana percaya kepada kemampuan kami untuk membantu mereka mengisi dana Yayasan. Nanti ada kesempatan lain, kita buat lagi aktiviti macam ni ok?!








