Friday, November 6, 2009

TERIMA KASIH PADA YANG INGAT DAN UCAP!!! PAKNIL SAYANG SEMUA...MMUAAAHHHH!!!

Assalamualaikum,

Luahan hati Paknil sempena hari lahir Paknil yang ke 47, 6 November :

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Alhamdulillah pada hari ini aku sempat menghirup udara Mu yang terus memberi aku nafas kehidupan buat tahun yang ke 47. Bersyukur sangat-sangat pada usia begini Kau masih melimpahkan aku dengan kasih sayang Mu yang tiada dapat ku balas selain amal dan pujian kepada Mu Tuhan Maha Esa. Ya Allah, jika Kau mahu aku teruskan kehidupan ku untuk terus berada di muka bumi ini, aku pinta dan berdoa agar Kau terus limpahkan aku jua hidayah Mu agar dapat ku perhambakan diri ku kepada Mu.

Kau maha mengetahui akan perjalanan hidup ku ini dan Kau maha arif akan kehadiran ku yang masih di dunia pinjaman untuk aku ini. Aku masih mempunyai keluarga yang amat ku sayangi dan amat menyangi aku. Sementelah Kau pinjamkan aku pada mereka dan mereka pada aku, biarlah mereka dapat sepenuh pembelaan kehidupan dari ku. Banyak lagi yang kekurangan yang harus ku lunaskan sebelum tiba masa Kau menjemputku.

Kurniaan Mu pada ku akan cahayamta comel yang juga hamba Mu yang sujud pada Mu Ya Allah, amat bererti bagi ku agar dapat mereka juga meneruskan kehidupan bertonggakkan dua kalimah sehingga mereka pula beranak dan bercucu, InsyaAllah. Peliharalah kesihatan ku agar jasad ini dapat terus melakukan tugas yang Kau amanahkan pada ku. Halakan lidah dan perbuatanku agar dapat ku titip dakwah seruan Mu dalam kerja ku dengan cara ku. Kau maha mengetahui mengapa Kau ciptakan aku dan letakkan aku di tampuk ini. Wallahualam. Siapa lah aku dan orang lain untuk menghakimi kerja ini jika ini juga kebolehan yang Engkau anugerahi untuk ku pinta rezeki bekal hidup yang sementara.

Ya Allah. Aku bersyukur kerana Kau terus pesan-pesan sayang Mu pada mereka yang rapat dengan ku agar terus mengingatkan aku seandainya aku lalai dalam amal ku, dalam ibadah ku, dalam kerja ku, dalam suka ku, dalam duka ku dan dalam tangunggjawab ku. Kau anugerahkan aku dengan saudara ku yang senantiasa bersama ku di waktu senang dan susah. Juga rakan ku di waktu tawa dan tangis. Kerana anugerah yang tinggi ini, aku terus melangkah yakin kerana aku tahu, Engkau ada wakilkan pada mereka untuk membimbing aku kearah Mu.

Kerana kasih Mu Ya Allah, Kau berikan kelebihan limpah padaku untuk turut memdapat perhatiaan dari ramai mata lain agar langkahku tidak pincang dan dipelihara selalu. Pemerintahku, pemimpinku, ketuaku, dan penyokongku. Syukur ke hadrat Mu kerana memilih aku untuk menerima kelebihan ini agar dapat mereka menegur ketelanjuranku, keegoannku dan kealpaanku.

Ya Allah. Aku ikrarkan janjiku untuk cebisan nyawa yang masih ada ini, juga untuk aku jadi pembela pada yang pincang, yang lemah, yang sakit, yang kerdil, yang rapuh, yang teraniaya, yang tiada kelebihan, yang kurang dan yang memerlukan. Akan aku abadikan harta yang kau berikan, akal yang kau anugerahkan dan kudrat yang kau limpahkan untuk mereka juga kerana mereka juga penumpang sementara diperjalanan dunia sama seperti aku.

Ya Tuhan sekelian alam. 47 tahun Kau bentuk diriku dan semua yang baik dari Mu dan yang buruk dari ku jua. Bersyukur lagi aku kepada Mu kerana masih bisa lagi meminta ampun dari Mu di hari Kau jadikan aku. Sesungguhnya aku terlalu takut pada Neraka Mu. Maka, salurkanlah aku kudrat untuk terus mengingati Mu dalam harianku, Seandainya hari lahir ke 48 tidak sempat ku gapai, matikanlah aku pada iman mu, pada agama mu, pada syiar mu, pada hidayah mu dengan cara yang tidak menyakitkan dan mengaibkan. Matikan aku seperti wafatnya junjungan ku Nabi Muhammad SAW yang ditangisi dan dirindui.

Ya Rahman Ya Rahim. Alhamdullillah dengan rezeki yang Kau berikan. Biar sekecil mana habuannya, aku tetap bersyukur atas nikmat pemberian Mu. Janganlah digelapkan mata ku untuk rezeki yang bukan milikku, yang bukan keredhaan Mu dan yang dikaut bukan untuk dikongsi. Ringankanlah tangan ku untuk memberi, untuk menghulur dan untuk menderma. Halakan seleraku untuk yang kau halalkan dan bukan yang kau haramkan dan laknati. Buka pintu hati ku untuk berbelanja ke arahMu dan agama Mu.

Saudaraku bukan sahaja yang sedarah dengan ku malah yang seagama dengan ku. Abadikanlah juga perhatian perjuanganku, rezekiku, kerjaku, doaku dan amalku untuk saudara seagama dan sebangsa. Pinjaman senang yang kau salurkan pada ku Ya Allah tidak bakal jadi penerang lahad ku nanti. Hanya amal, ibadah dan doa anak yang soleh rezeki pembela aku di sana.

Dengan mata yang masih tidak kabur di usia ini Ya Allah, Kau tampakkan aku pada kemungkaran agar aku simpangi. Celikkan aku pada kedaifan agar dapat ku baiki. Buka kan mataku pada kesempitan orang agar dapat ku bantu. Jadikan mata ini untuk melihat dan menjadi saksi kepada kesilapan diru ku dan orang lain agar dapat ku tebus kesalahan sebelum mata ini menjadi kabur dan tutup buat selamanya.

Ya Ghafur, pelihara hidung ini agar ia boleh terus menghirup udara agar aku terus bernafas. Agar aku dapat menggerakkan tubuh ini kearah Mu. Biar rongga ini terus menghidu bau Firdausi Mu dan setanggi nur Mu. Berilah deria ini kelebihan menghidu perjalanan kearah mu kerana bau kebenaran adalah dari Mu jua.

Ya Rashid, peliharalah mulut ku agar dapat berzikir nama Mu dan Rasul Mu. Agar bercakap benar untuk Pencipta ku yang ku takuti. Agar tidak dicucur dengan api azab Mu nanti. Ya Allah, peliharakanlah kata-kata Ku agar yang diucap bakal jadi ubat, yang ditutur bakal jadi penawar, yang diluah bakal jadi madu dan yang dikatakan bakal jadi perindu. Doa ku agar kasturi janji mu penyegar nafasku.

Ya Qayyum, puji-pujian atas Mu yang membenarkan aku berdiri, berlari dan melangkah lagi walau pernah langkah ku silap. Walau pernah langkah ku sumbang. Walau pernah langkah ku jelik. Kau beri lagi tulang dua kerat ini untuk ku hayunkan seirama usia matang ku ini. Ya Allah, letakkan lah kaki ku ini dilandasan Mu agar ia berjalan ke rumah mu, ke Raudhah Mu, ke Nur Mu, ke sisi Mu. Biar kaki ini jadi puas dibasahi wudhu’ untuk ku balut menyujud ke hadrat mu.Pesongkanlah kaki ini dari mencecah kemurkaan Mu Ya Tuhan.

Ya Wahid. Di ketika umur ku setinggi ini, Kau masih benarkan tangan ini dihayun. Akan ku guna untuk ku angkat ke langit berdoa mendapatkan Syafaat Mu. Biar tinggi tangan ku seperti yang kau benarkan di Masyar dunia dengan izin mu dahulu. Tangan ini ku rasa seperti terlalu kecil untuk menampung rahmat Mu yang besar. Berikan tangan ini deria rasa yang berkekalan agar dapat ku rasa gentelan tasbih mengahadkan diri Mu. Dengan izin Mu jua, diketika ini tangan ini bisa memetik kekunci huruf di hadapan ku untuk ku luah rasa syukur ku. Tiada yang lebih Esa dari diri Mu.

Letakkanlah tangan ku di atas untuk ku genggam tangan di bawah. Ringankan tangan ku Ya Allah agar tidak liat berkongsi rasa, berkongsi senang, berkongsi harta yang Kau pinjamkan bersama yang tiada. Di usia ini terasa ingin tangan ini memeluk ayah ku yang telah bersama Mu. Tangan yang dipimpin ayah ini dulu, kini ku angkat untuk ku doakan kebahagiaan mu di sana di sisi PenciptaNya.

Tangan inilah yang dibasuh ibuku dahulu tanda menyuci diri. Sesuci kasih ibu, aku gunakan tulang ini juga untuk ku tadah kehadrat Mu semoga Kau terima suci cinta ibu ku kepada Mu. Ketukkan tangan ini ke kepala ku jika aku terlupa mendahulukannya. Ibu yang selalu mendahulukan aku daripada dirinya. Ya Tuhan pelihara tangan ini agar aku dapat terus berdoa untuk ibuku harta besar pemberian Mu.

Ya Tuhan pencipta sekalian alam. Ampunkan dosa terkumpul ku yang kian tahun kian menggunung dan hapuskan terus menjelang aku menghadap Mu. Aku terlalu takut pada siksaan Mu Ya Allah. Pada insan yang aku berhutang kemaafan, ampunkan aku jika aku meluka, mengguris dan menyakit kalian. Atas doa sejahtera kalian juga aku masih berkesempatan diraikan untuk kesekian kalinya dengan nyalaan dian bertambah. Aku mahu jadi teman kalian agar aku dapat lebarkan penerimaan kasih dan pemberian sayang.

Tiada kenangan buruk yang ingin aku abadikan melainkan yang manis semata. Minda ini mungkin sudah terlalu lemah untuk mengingat yang menyakiti aku, yang menghunus rusuk ku, yang mengherdik telinga ku, yang menyucuk mata ku dan yang meracun semangat ku. Minda tua ini kian menguis rasa benci itu agar disiram dengan rasa maaf agar kemaafan juga yang aku temui. Maafkan aku kawan, maafkan aku kanda dan dinda ku. Maafkan aku semua. Ampunkan aku Tuhan!

Biar esok aku dilahirkan semula supaya bersedia untuk dikembalikan. Amin.”

Tuesday, October 27, 2009

MAGIKA YANG MAGIS!!!!


Hari ini Paknil dapat tonton secara eksklusif filem MAGIKA terbitan KRU STUDIOS.
Tahniah Paknil nak ucapkan kepada Edry Abd Halim (KRU) kerana filem MAGIKA yang diarahnya betul-betul bakal mencetus satu fenomena baru dalam industri filem tempatan. Bukan sahaja ia merupakan filem muzikal yang julung kali diterbitkan di sini malah lagu-lagu yang menghiasi filem ini memang merdu-merdu belaka.
Cara Edry menggarap filem ini memang ada kelas! Ada lucu, saspens dan sedih. Paknil yang sempat menonton intai filem ini benar-benar bangga dengan kerja Edry yang seolah telah mengarah banyak filem sebelum ini.
Bangga betul rasa hati Paknil bila turut sama berlakon (sebagai Pak Pandir) dalam filem ini. Ramai juga bintang hebat yang terlibat sama. Antaranya Maya Karin, Ziana Zain, Datuk Jalaluddin Hassan, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ruminah Sidek, Diana Daniel, Mawi, Ning Baizura, KRU, Nabil, M.Nasir, Norman Hakim, Vanida Imran, Raja Azura, Zaibo, Haziq TTB, Marsha AF3, Saiful Apek, Senario (original cast), Sharifah Aleeya, Sharifah Amani, Adibah Noor dan ramai lagi.
Paknil tak nak cerita lebih-lebih lagi buat masa ni. Nanti dah dekat hari tayangan (bulan Mac 2010) Paknil buat review khas ok. Sori…kalau buat korang gerammmm dan tak sabarrrrr. Tungguuuuuu!

Sunday, October 18, 2009

MAJLIS UNTUK ANAK-ANAK PAKNIL

Hari Sabtu lalu Paknil sekali lagi rasa bertuah sebab berkesempatan untuk menjayakan rumah terbuka Astro yang kami panggil Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri & Deepavali di Pusat Konvensyen KLCC.
Tetamu kehormat kami hari itu adalah YB Senator Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang begitu ‘sporting’ kerana turut melayan tetamu istimewa kami iaitu anak-anak dari rumah kebajikan di sekitar Lembah Kelang.
Anak-anak yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum dan kesemua seronok menikmati hidangan, bertemu artis, persembahan pentas dan dapat duit raya lagi!

Ketika itu Paknil tidak mahu langsung menyebut perkataan ‘Anak Yatim’ atau ‘Rumah Kebajikan’ yang sekali gus mewujudkan rasa rendah diri di kalangan mereka. Lagi pun perkataan itu mempunyai konotasi negative yang juga membeza-bezakan anak-anak itu dengan anak-anak yang lain.Biarlah hari raya ini menjadi milik semua anak-anak dan bukan milik anak-anak yang bernasib baik sahaja. Paknil sayang anak-anak semua!

BEYONCE IS COMING TO TOWN

**(Susah jugak Paknil nak cari gambar Beyonce yang sesuai untuk diletakkan di sini kerana rata2 gambar beyonce seksi2 belaka)
Seperti yang semua thu Beyonce akan melakukan Konsert I Am World Tour di Kuala Lumpur 25hb Oktober ini. Pasti ramai yang teruja untuk menyaksikan bintang antrabangsa ini beraksi di depan mata kita.
Kali ini Paknil ingin pembaca blog ini memberikan komen pada tulisan Paknil di Metro Ahad hari ini - JANGAN SEKADAR DI BIBIR (klik di sini). Tulisan ini bukan Paknil tujukan kepada Beyonce tetapi kepada KITA. Sila baca dan komen di sini. Terima kasih semua!

Friday, October 16, 2009

PINJAMKAN MASA



Seronok betul Paknil dapat pinjamkan sdikit masa Paknil untuk bersama-sama dengan anak-anak yatim dari Institut Taufiq Al-Islami pada hari Sabtu lepas.
Walaupun sekejap Paknil dapat bersama mereka, tapi Paknil rasa sungguh bermakna sebab rupa-rupanya, memang mereka ingin melihat Paknil dengan lebih dekat lagi.
Alahai, kalau dengan cara itu dapat menggembirakan hati kanak-kanak yang tidak senasib baik dengan kita, apa salahnya.
Sebenarnya majlis bersama anak yatim ini turut menyelitkan tazkirah untuk anak-anak ini dan menjelang makan tengahari baru Paknil dapat bertemu mereka.Paknil sempat mendekati mereka dengan temubual sambil bergelak sakan. Puas rasa hati Paknil bila melihat mereka ketawa di samping Paknil sematkan pesanan untuk berjaya dalam peperiksaan.
Majlis ini sebenarnya adalah anjuran AJK Surau Astro dan diadakan di dalam bangunan Astro jugak. Jika Paknil diberitahu lebih awal mungkin Paknil dapat meluangkan lebih masa bersama mereka kerana Paknil terpaksa bergegas untuk majlis lain di luar Kuala Lumpur.
Hari ini Paknil akan bersama dengan kumpulan anak-anak yatim yang lain pula sempena sambutan Rumah Terbuka Astro di Kuala Lumpur Convention Centre. Nanti Paknil update cerita dengan gambar eh....

Wednesday, October 7, 2009

AL-FATIHAH

Paknil adalah antara orang yang sangat bersedih ketika ini apabila Adik Khayrul Aiman telah kembali ke Rahmatullah untuk bersama Penciptanya setengah jam yang lalu (lebih kurang pukul 1030mlm)
Paknil ingin ucapkan takziah kepada kedua ibubapa dan keluarga Aiman akan pemergian Aiman. Percayalah, seperti yang Paknil katakan pada mereka ketika menghubungi mereka tadi, Adik Aiman lebih aman di sana. Itulah harta mereka yang menanti untuk menolong ketika di hari hisab untuk membawa kedua ibubapanya terus ke Firdausi.
"Ya Allah Ya Tuhanku Engkau kuatkanlah semangat kedua ibubapa Aiman agar dapat melalui dugaan dan cabaran Mu ini. Engkau yang lebih mengetahui.
Dan Engkau letakkan lah anak kecil suci ini di sisi Mu agar dapat menjadi pembela kedua orang tuanya apabila Engkau hidupkan kami semula di hari akhirat nanti. Amin"

Monday, October 5, 2009

DOAKAN UNTUK AIMAN....

Baru-baru ni, Paknil ada terbaca nota yang ditinggalkan salah seorang pengunjung blog Paknil bernama Davina.
Assalamulaikum Abg Aznil,

Saya davina, doing programmes for children with cancer. Ada seorang kanak-kanak ( Adik Khayrul Aiman )berhajat jumpa Abg Aznil, as doctor confirmed nothing can be done. Please contact me..if possible...kami mempercepatkan birthday party dia esok.. as doctor said, next week may not be around..wallahualam

September 30, 2009 2:30 PM

Kesan daripada mesej ini, Paknil begitu tersentuh sehingga Paknil terpanggil untuk meluangkan masa memenuhi impian Adik Khayrul Aiman. Davina juga melakukan pelbagai usaha untuk menemukan Aiman (6 tahun) dengan Paknil. Antaranya adalah dengan menghubungi ASTRO dan KRU Studios.
Alhamdulillah, pada hari khamis lalu 1hb Oktober Paknil bersama pengurus KRU, Akmal (AC) telah mengunjungi adik Aiman di rumahnya di Sentul, KL. Keadaan Aiman amat lemah lebih-lebih lagi baru keluar dari hospital. Paknil sempat menghulurkan sebotol air zamzam yang masih lagi Paknil simpan sejak kembalinya Paknil dari tanah suci musim haji lepas. Yalah, air zamzam ni kan ibu segala ubat di dunia ini. Manalah tau ia boleh jadi penawar. InsyaAllah
Paknil bangga melihat ibubapa Aiman yang bersungguh menjaga dan merawat Aiman sehingga menganjurkan majlis doa selamat dan harijadi buat anak tersayangnya itu.
Bagi Paknil, hanya doa dan kunjungan yang dapat Paknil berikan. Apa salahnya jika itu juga boleh dijadikan ubat untuk Aiman.
Sememangnya, insan-insan istimewa seperti Aimanlah yang boleh membuat kita lebih menghargai kehidupan dan sedar bahawa kasih sayang sebenarnya boleh melampaui apa sahaja batasan. Dari mula tidak mengenali keluarga Aiman, kini Paknil mula merasakan mereka bagai sebahagian daripada keluarga Paknil.
Marilah kita sama-sama mendoakan agar Aiman diberikan kekuatan dan sembuh dari penyakit ini kerana kita harus percaya pada kebesaran dan keajaiban Allah SWT. Amin.

Buat Davina, Tahniah Paknil ucapkan dan teruskan usaha murni Davina dalam membahagiakan insan-insan yang kurang bernasib baik!