Thursday, December 10, 2009

PAKNIL MENANG LAGI!!!

Seronok juga dapat bersama pendengar Era Rabu lalu untuk Cabaran Makan Roti Canai Cara Tertib. Kalau dalam pusingan pertama dulu Paknil baham 5 setengah keping roti canai untuk jadi Juara, tapi kali ini Paknil telan 6 suku roti canai. Pecah rekod sendiri tu. Yang diharap kuat makan di kalangan pendengar Era dan Din Beramboi sendiri, rupanya hanya nampak kuat di luar sahaja. Ok lah, Paknil malas cerita panjang. Korang baca sahajalah komik bergambar yang Paknil sediakan untuk korang semua! Enjoy!















Thursday, December 3, 2009

Monday, November 30, 2009

BLOG BORAK PAKNIL

Assalamualaikum.
Berita baik bagi pengikut ruangan BORAK PAKNIL di Metro Ahad. Paknil telah secara rasmi melancarkan 1 blog baru yang juga Paknil namakan BORAK PAKNIL (klik di sini) untuk anda semua layari. Semua ini adalah untuk anda berkongsi pendapat atas setiap artikel yang disiarkan di akhbar No:1 itu. Paknil harap ia dapat dimanafaatkan. Selamat berkongsi pendapat.

Thursday, November 26, 2009

SEKARANG ADALAH WUKUF DI ARAFAH!!!


Assalamualaikum buat semua pembaca blog Paknil yang budiman.

Ketika Paknil merakamkan entry ini, Paknil seolah terpanggil semula kenangan waktu Wukuf di Arafah kerana ketika inilah semua umat yang mengerjakan Haji akan bermunajat dengan Allah SWT meminta ampun dan berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Ketika ini, airmata memang tidak boleh ditahan-tahan lagi dan bumi Arafah turut dibasahi airmata keinsafan oleh berjuta umat yang berada di sana.

Keadaan memang begitu sunyi dan tenang kerana kesemua umat Islam yang membanjiri padang Masyhar Dunia ini sedang menghayati detik berharga bersama pencipta mereka.

Tangan kami tadah ke langit seolah ingin menggapai langit yang terendah kerana diberitahu, ketika itu Allah turun dan berada di langit yang terendah untuk mendengar doa dan suara yang memohon keampunanNya.

Memang ajaib detik itu dan Paknil yakin mereka yang telah melaluinya sahaja yang boleh membayangkan keadaan ketika itu.

Paknil terlalu rindu pada detik itu dan entah bila Paknil akan ke sana lagi untuk menunaikan fardhu haji sekali lagi. Semuanya terpulang kepada kemampuan kesihatan, masa dan rezeki. InsyaAllah.

Nabi Muhammad SAW bersabda, ‘‘Haji itu adalah wukuf.” Hal ini memperlihatkan betapa pentingnya hari wukuf.

Paknil ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha semoga kita juga yang akan berada di bumi Arafah dalam musim Haji yang akan datang. Amin.

Wednesday, November 25, 2009

DAH BESAR DAH ANAK PAKNIL….

DAH BESAR DAH ANAK PAKNIL….
Dalam diam rupanya anak Paknil yang sulong bakal menjangkau usia 20 tahun tahun depan. Fifi sudah pun selesai menduduki peperiksaan A Level dan Alhamdullillah keputusannya membanggakan.
Fifi ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dan antara negara pilihannya adalah Australia. Begitu juga dengan jurusan pilihannya yang pelbagai. Masa inilah untuk Fifi menjenguk pelbagai jurusan potensi sebelum membuat keputusan,
Paknil pun ambil kesempatan menjenguk antara universiti pilihan Fifi iaitu University of Queensland(UQ), Australia.
Yalah, inilah baru pertama kali Fifi nak belajar jauh dari kami tentulah Papanya yang sibuk dan menggelabah.
Dengan kecanggihan teknologi internet, urusan Paknil ke universiti itu diurus Fifi melalui email. Begitu cepat semua urusan diselesaikan sehinggalah Paknil menjejakkan kaki di kampus induk UQ di St. Lucia Queensland baru-baru ini.
Sebelum memasuki kawasan kampus UQ, Paknil singgah di restoran halal Nandos untuk makan tengahari. Terserempaklah dengan beberapa pelajar Malaysia yang juga belajar di sana. Seketika itu Paknil rasa seperti berada di Malaysia pula. Lepas bergambar-gambar, barulah Paknil bergerak masuk ke kampus.
Setiba Paknil di sana, Paknil telah disambut oleh Anja, embasador pelajar yang secara sukarela untuk membawa Paknil keliling kampus. Anja adalah pelajar yang berasal dari Jerman dan mengambil jurusan Perniagaan. Sangat baik budi bahasanya.
Mula-mula Paknil diperkenalkan kepada David, pegawai hal-ehwal pelajar untuk memberi penerangan mengenai hal berkaitan pelajar, kursus, yuran dan pendaftaran.
Sejurus selepas itu, kami keliling kampus yang Paknil dapati dijaga begitu kemas dan bersih.
Bagus juga university ini sebab semua berdekatan antara satu fakulti dengan fakulti yang lain. Begitu juga dengan perpustakaan, cafeteria, gymnasium, kolam renang, pusat sukan, panggung dan dewan riadah.
Entahlah…kalau dilihat memang lengkap university ini tapi bukan Paknil yang nak belajar kat sini tapi Fifi. Biarlah Fifi yang buat keputusan. Kalau ada di antara korang semua yang pernah belajar di universiti ini atau tahu siapa yang belajar di sini boleh lah tolong Paknil dan bagi tahu tentang prestasi University of Queensland.








Sunday, November 15, 2009

SEHATI BERDANSA....I'M SORRY!!!














Paknil terpanggil untuk sama2 berkongsi pengalaman Paknil semasa menjadi juri Sehati Berdansa untuk episod tayangan 7 Nov.

Paknil bukanlah orang terbaik untuk menjadi juri pertandingan tarian ni tetapi setelah diyakinkan oleh pihak penerbitan barulah Paknil terima. Kata mereka tema minggu ini adalah berdasarkan kepada lagu-lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad nyang merupakan ikon 1Malaysia.

Rupanya bila sudah duduk dikerusi juri baru Paknil tahu yang persembahan mereka lebih berat kepada unsur 1Malaysia dari elemen Sudir itu sendiri. Seharusnya kedua2 elemen ini harus diseimbangkan. Untuk tidak mencacatkan rakaman, Paknil terus bermain dengan nada mereka. Paknil terima persembahan mereka seadanya.

Sememangnya ada rasa perbezaan dengan apa yang kita saksikan di tv dan di studio. Di tv, kita dihidangkan dengan kerja produksi menukar sudut kamera secara pantas. Jadinya, kita dapat rasakan yang peserta SB sememangnya menari begitu pantas mengikut irama rancak. Rupanya kerja kamera yang bertukar rancak mengikut rentak lagu.

Berbanding dengan menyaksikan secara mentah di depan mata, pergerakan mereka tidaklah setangkas yang Paknil sangkakan. Namun begitu, Paknil tabik pada pasangan Sazzy dan Nazril yang sememangnya tangkas di depan mata Paknil. Cukup bertenaga dan cuma Nazril ada terlupa gerak tari. Jika tidak, pasti mereka mendapat markah penuh lagi minggu itu!

Bila pikir-pikir balik, elok jugak Paknil jadi juri sebab pengetahuan Paknil sama seperti orang kebanyakan yang tidak mengetahui asas tarian tetapi tahu samada tarian mereka menghiburkan atau tidak. Sekurang-kurangnya Paknil melihat dari kacamata penonton.

Oleh kerana tema 1Malaysia, kebanyakan pereka tari cuma berfikiran di dalam kotak yang sama dan atas sebab itu corak reka bentuk tarian lebih kurang sama sahaja. Oleh kerana tarian ini adalah tarian yang dekat dengan kita, maka setiap kesilapan akan jadi sangat ketara sebab kita tahu akan tarian itu. Lebih-lebih lagi bila kita pernah menonton tarian yang lebih hebat daripada itu jadi ekspektasinya juga lebih tinggi.Tidak sama seperti tarian salsa, tango atau disko yang kita tidak berapa kenal.

Ada dikalangan penonton dan peserta yang kurang senang bila Paknil ada ketikanya membandingkan persembahan di antara peserta2 yang bertanding. Rileks la. Paknil buat macam kita menonton di rumah juga yang turut membanding-bandingkan persembahan peserta-peserta. Itu sebab mereka menonton kesemua persembahan sebab untuk melihat persembahan siapa paling terserlah dan yang paling malap.

Lagipun, Paknil rasa mereka bersaing sesama mereka dan bukan dengan orang lain. Seharusnya mereka membandingkan persembahan mereka dengan peserta yang lain agar mereka jadi lebih kreatif, lebih bertenaga dan lebih yakin. Segala komen juri pada peserta yang lain harus juga mereka ambil kira agar kekuatan kumpulan lain dapat mereka gunakan dan kelemahan kumpulan yang lagi satu dapat dielakkan daripada dilakukan. Mereka tak boleh syok sendiri!

Apa-apa pun, Paknil nak ambil kesempatan ini memohon maaf jika komen Paknil mengguris hati penyokong dan peserta yang bertanding yang terdiri daripada kawan-kawan Paknil juga. Memang sukar untuk bercakap benar ketika mengatakan sesuatu yang kurang elok. Memuji adalah lebih mudah. Sekarang Paknil tahu akan perasaan juri yang memberi komen secara berdepan dengan peserta sebab wajah mereka sangat mengharapkan pujian. Lebih-lebih lagi bila Paknil lihat wajah mereka yang masih lagi tercungap-cungap setelah berhempas pulas membuat persembahan yang terbaik. Hai, tak sampai hati untuk mengkritik.

Paknil doakan peserta yang masih ada dalam Sehati Berdansa terus meyakinkan penonton dengan persembahan mereka kerana Paknil lihat juri musim kali ini lebih pemurah dalam memberikan markah. Biarlah markah yang diberikan setimpal dengan persembahan mereka. Dalam tekad untuk menang, Paknil harap mereka dapat mencari keseronokan menari sebab penari yang seronok akan terpancar di wajah mereka semasa membuat persembahan berbanding penari yang hanya ingin menang. Wajah mereka menjadikan tarian itu tegang! Wallahualam.

Wednesday, November 11, 2009

Terima Kasih Ingat Besday Paknil

Sampai hari ini 11/11 Paknil masih lagi menerima ucap selamat sempena harijadi Paknil yang ke 47 6 Nov lalu. Paknil masih menerima hadiah pemberian ramai. Terima kasih sangat...buat susah susah aje! Terima Kasih Din Beramboi sebab bagi beg galas yang mahal, pihak pengurusan Astro kain batik yang cantik, pembantu Paknil yang bagi baju panas yang mahal, adik beradik Paknil yang bagi jam tangan, cermin mata, blazer cantik, track suit, bedsheet, tulisan khat ayat suci dan banyak lagi.
Pada peminat yang hantar kad ucapan pun Paknil tak lupa ucap terima kasih. Bersusah payah mereka mengirim kad buat Paknil. Yang menghantar ucap selamat melalui SMS juga Paknil tak lupakan. Pada pengunjung blog Paknil dan yang sempat mengucap selamat, tidak ada cara Paknil nak balas ingatan korang semua.
Begitu juga pendengar-pendengar Era yang terus-terusan mengucapkan Selamat Hari Lahir.
Paknil rasa, harijadi Paknil yang ke 47 ini merupakan sambutan yang paling banyak Paknil meniup lilin atas kek harijadi. 6 set kek Paknil terima dari mereka yang tidak lupa tarikh 6 Nov. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi baik kalian semua!