Tuesday, March 16, 2010
SESI FOTOGRAFI PUN KERJA JUGAK!!!
Tuesday, March 2, 2010
JOM JOM UNDI ABP 17 HARI LAGI!!!
Tarikh tutup untuk geng semua hantarkan undian sudah hampir tiba iaitu pada 19 Mac ini. Sesiapa yang sudah mengundi untuk kategori yang Paknil bertanding, Paknil dahului dengan ucapan TERIMA KASIH BEBANYAK!Friday, February 19, 2010
Assalamualaikum.
Pertama sekali, Paknil ingin memohon maaf sebab dah lama tak update blog ini. Jadual Paknil agak ketat sikit akhir-akhir ini. Harap2 geng semua dapat maafkan Paknil dan terima kasih sebab terus-terusan menjengok ke laman blog ini.
Ini adalah certita yang Paknil terhutang dengan korang semua. Kisah Shamsulkifli Bin Mohd Bashah. Baru berusia 19 tahun tetapi telah melalui cabaran hebat dalam kehidupan. Sejak berusia 15 tahun, Shamsul cuma melihat dengan menggunakan mata sebelah kanannya sahaja apabila mata kirinya menjadi buta.
Ketika itu, Shamsul tetap melalui kehidupan seperti remaja lain, bersekolah dan berkawan-kawan. Kebahagiaan yang sedikit ada padanya sedikit demi sedikit diragut apabila bonda tercintanya tiba-tiba rebah dan meninggal dunia November lalu. Ketika itu, Shamsul rasa seperti hilang arah dan punca lebih-lebih lagi apabila ibunyalah yang merupakan pencari rezeki tunggal keluarganya. Ayah Shamsul adalah seorang OKU melihat (buta).
Setelah kehilangan ibunya, Shamsullah yang menjaga ayahnya sepenuh masa dan abangnya mula pertama kali mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan gaji yang tak seberapa. Ayahnya cuma mendapat bantuan JKM sebanyak RM250 sebulan.
Lebih memedihkan apabila mata sebelah kanan Shamsul pula kini hari demi hari kian gelap. Menurut Doktor, urat yang melekat dibelakang mata Shamsul kian tertanggal. Dan apabila itu berlaku, Shamsul akan jadi OKU melihat (buta) selamanya.
Walaupun nanti ada insan yang ingin menderma organ mata kepadanya, menurut Doktor, ia tidak dapat mengembalikan penglihatannya kembali.
Shamsul kini bagai hilang keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan. Dia tidak boleh membaca lagi dan ini bermakna dia tidak dapat meneruskan pelajaran ke jurusan Multimedia seperti yang diidamkannya. Kini Shamsul banyak menyendiri di rumah sedangkan kawan-kawan seusianya sudah melanjutkan pelajaran ke IPTA.
Oleh kerana sering berada di rumah, Shamsul menjadikan Riuh Pagi Era sebagai teman. Keriuhan dan jenaka Paknil dan Din Beramboi rupanya menjadi penghibur Shamsul. Shamsul tertarik dengan Merisik Khabar dan terpanggil untuk mengadu keadaan dirinya pada Paknil.
Mungkin rezeki Shamsul, Paknil menghubunginya sehingga Paknil terpanggil untuk membantunya. Apabila Paknil diumumkan sebagai pemenang tempat kedua pertandingan Revive Isotonic dan menerima hadiah RM2,000, Paknil terus terfikir untuk menyerahkan kepadanya.
Rupanya cerita Paknil ingin membantu Shamsul turut mendapat perhatian pengeluar Revive Isotonic, Permanis Sandilands Sdn Bhd dan menambah RM5,000 lagi buat Shamsul.
Maka Paknil aturkan pertemuan Shamsul dengan wakil Permanis di studio Era dan di situ juga pertama kali Paknil bertemu Shamsul yang datang bersama ayahnya. Pilu hati Paknil melihat nasib dua beranak ini.
Tak mampu Paknil bayangkan derita yang mereka tanggung lebih-lebih lagi dengan Shamsul yang lebih muda usianya dari anak sulong Paknil. Aduhai…menitis airmata Paknil.
Harap2 dengan bantuan RM7,000 dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban Shamsul dan sebagai pembuka bantuan untuk Shamsul.
Semoga Shamsul tabah lalui dugaan Tuhan ini. Amin
Monday, February 8, 2010
PAKNIL KALAH :(
Mungkin takde rezeki untuk Paknil memenangi pertandingan Rev-UP baru2 ni sebab Paknil ketinggalan hampir 1,000 undian dibelakang penyampai MY.FM. Takpelah, dapat nombor dua pun jadilah. Dapat jugak RM2,000.
Ini bermakna duit RM3,000 yang paknil nak serahkan pada penghantar slogan terbaik itu tak dapat diteruskan sebab Paknil kalah kuikuikui!
Namun begitu, duit RM2,000 yang Paknil menangi itu Paknil akan dermakan kepada salah seorang peserta Merisik Khabar di Riuh Pagi Era yang kurang bernasib baik. Mungkin duit itu dapat meringankan lagi masalah yang ditanggung oleh penerima ini.
Nak tau siapa yang bakal menerima sumbangan yang tak seberapa daripada Paknil ini, pastikan anda semua ramai-ramai dengarkan Riuh Pagi Era besok pagi (9/2) kerana penerima itu akan menjadi tetamu Paknil dan Din Beramboi. Kalau selalu kita ketawa berdekah-dekah dengan lawak tak hengat di Riuh Pagi Era, besok kita tukar tenaga kepada lebih perihatin dan keinsafan. InsyaAllah.
Sementara menunggu gambar pertemuan Paknil dengan tetamu istimewa Paknil besok, kita enjoy dulu dengan gambar ketika Rev-UP Party kat Euphoria Ministry Of Sound @ Sunway Hotel Jumaat lalu!
Monday, February 1, 2010
MASA DAH SUNTUK
Tuesday, January 26, 2010
JOM UNDI VIDEO PAKNIL!!!!
Amacam geng? Boleh bantu? Saper yang dah vote, boleh tinggalkan namanya di sini supaya Paknil dapat lihat saper yang tolong Paknil...hehehe
Khabarnya pemenang akan diberi hadiah RM3,000! Jadi Paknil nak berikan hadiah itu kepada korang yang dah mengundi dan tinggalkan slogan terbaik di sini "Paknil patut menang kerana......(tidak melebihi 20 perkataan). ANDA TAK UNDI ANDA TAK MENANG!
REV UP YOUR LIFE WITH REVIVE ISOTONIC!
Monday, January 25, 2010
SAIFUL OH SAIFUL
Sebelum kemalangan Saiful menjalani kehidupan yang normal. Merupakan seorang yang pendiam dan sangat kuat bekerja. Merupakan anak sulong dalam keluarga 5 adik beradik. Mempunyai seorang kekasih yang hanya mahu dikenalkan sebagai Yati sahaja.
Dalam bulan 6 tahun lalu, satu kemalangan ngeri menimpa Saiful yang sekali gus merubah hampir separuh dari wajahnya. Bahagian mulu dan dagu Saiful hancur, dua tulang rusuk kiri dan dua tulang rusuk kanan juga patah. Hatinya juga rosak teruk dan terpaksa dibuang. Lebih 20 hari Saiful berada di dalam koma.
Ketika itu juga, Paknil dihubungi oleh adik Saiful bernama Aishah melalui segmen Merisik Khabar di Riuh Pagi Era. Aishah mengadu yang dia terpaksa berhenti kerja kerana menjaga abangnya yang kemalangan di hospital. Ramai pendengar Era yang prihatin dan hanya mampu menitipkan rasa simpati dan pesanan untuk kuatkan semangat.
Mendengar cerita Aishah, Paknil juga tidak dapat membayangkan betapa getirnya dugaan yang dilalui oleh remaja belasan tahun ini. Namun cerita Aishah yang kita dengar ketika itu terhenti di situ sahaja.
Namun pada hari Isnin 18 Januari, Paknil terbaca pula satu lagi SMS dari pengadu bernama Saiful yang mengadu kekasihnya berubah hati setelah dirinya kemalangan. Tanpa menyangka ia ada hubungan dengan cerita SMS pertama tadi, Paknil mengubunginya. Jauh di suara sebelah sana, Paknil terdengar suara yang agak pelik kedengarannya. Setelah diperkenalkan, barulah Paknil tahu rupanya Saiful itulah abang kepada Aishah.
Saiful bercerita pada Paknil yang dirinya sudah lemah dalam kehidupan setelah wajahnya berubah dan kini kekasih hatinya meninggal dirinya. Lebih perit apabila kekasihnya beralih hati pada teman baik Saiful. Saiful sudah putus harapan untuk meneruskan kehidupan.
Katanya, dia beralih kepada Paknil untuk mencari kekuatan dan sinar baru. Dia ingin ketemu dengan Paknil. Entah kenapa, tergerak hati Paknil ini untuk bersama kru Era menemui Saiful pada hari selasa keesokan harinya. Berdebar juga hati Paknil dalam perjalanan ke rumah Saiful hari itu bukan kerana takut akan melihat wajah Saiful tetapi kerana takut kata-kata Paknil tidak mampu menaikkan semangat Saiful untuk kembali bangun. Paknil tak henti berdoa agar Tuhan melancarkan lidah ini untuk menaikkan semangat anak remaja ini.
Setiba di rumah Saiful, Paknil dinanti Saiful dan keluarganya. Wajah Saiful diselindungkan di sebalik topeng hidung dan mulut. Tanpa ada rasa gentar, Paknil minta Saiful tanggalkan topeng itu. Saiful akur. Ketika itu, jiwa Paknil hancur kerana tidak dapat membayangkan kekuatan yang Saiful punyai untuk memikul dugaan pada wajahnya seperti yang Paknil lihat di depan mata Paknil sekarang.
Namun, sedikit pun tidak timbul rasa takut malah simpati Paknil berlipat seribu kali. Hampir sejam Paknil merapati Saiful dan akhirnya Saiful mempercayai Paknil. Ketika itulah Paknil diberitahu, Saiful sempat mengarang beberapa sajak ketika berada di katil hospital.
Bagus juga sajaknya. Saiful sendiri akui yang dirinya tidak pernah menulis apa-apa karangan sebelum itu. Hebatkan kuasa Tuhan. Dibukakan anugerah yang selama ini tersembunyi di dalam diri Saiful.
Sekembali dari kunjungan ke rumah Saiful, fikiran Paknil terus teringat-ingat akan sajak yang Saiful lakarkan itu. Paknil rasakan sajaknya ada nilai komersil dan cadangkan kepada Era agar kita carikan peluang baru untuk Saiful. Akhirnya terfikir untuk memperkenalkan Saiful kepada komposer hebat Ajai.
Pagi Khamis, Paknil di Riuh Pagi Era menjemput Saiful sebagai tetamu. Saiful hadir ditemani adiknya, Aishah. Dalam temubual, Paknil dapat lihat Saiful sudah ada semangat untuk meneruskan kehidupan, bertalu panggilan telefon dari pendengar Era yang masuk untuk bercakap dengan Saiful dan sekali gus ingin memberi kata semangat padanya. Terima kasih pada semua!
Tup tup! Pukul 9 pagi kami masukkan satu panggilan telefon kezzzutan kepada Saiful. Datuk Siti Nurhaliza. Datuk Siti puas berpesan kepada Saiful untuk bangun semula dan dari getaran suara Datuk Siti, Paknil rasa Datuk Siti juga gugur airmatanya. Terima kasih Datuk kerana sudi ‘singgah’ seminit dua untuk membaik pulih perasaan lemah Saiful. Terlihat ada campuran riak malu, bangga dan suka di wajah Saiful.
Lebih tidak disangkakan Saiful apabila Ajai pula kami sambungkan dihujung talian. Kedua beradik hampir tergamam dan terdiam apabila mengetahui Ajai berminat untuk mengenengah bakat Saiful sebagai penulis lirik. Tidak pernah disangka oleh Saiful yang sinar hidupnya mula menyinar kini.
Teruja Saiful bercerita tentang keinginannya untuk menulis lirik lagu pula. InsyaAllah jika kita semua panjang umur, kita akan sama-sama saksikan kehebatan anak muda ini menongkah arus kehidupan sebagai penulis lirik yang hebat pula. Rezeki manusia bukan urusan kita. Tuhan penentu segalanya. Paknil nantikan kemunculan lagu pertama nukilan Muhd Saiful Rizwan!
p/s : Paknil lampir di sini sajak tulisan tangan Saiful yang diciptanya untuk Paknil. Terima Kasih Saiful!