Saturday, June 19, 2010

JOM BERSAMA PAKNIL KITA GANYANG AEDES!!!

Semalam secara rasmi, Paknil telah dilantik sebagai ikon anti denggi dalam kempen terbaru Kementerian Kesihatan "Jom Ganyang Aedes" bagi menangani wabak denggi.
Satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak telah berlangsung di bilik gerakan Kementerian Kesihatan BlokE7, Putrajaya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Bagi Paknil, penglibatan dalam kempen ini adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sosial kepada negara diharap mampu menarik minat komuniti setempat khususnya golongan remaja untuk turut sama membanteras denggi.
Paknil lihat pihak kementerian begitu bersepadu untuk mengadakan projek khas "Jom Ganyang Aedes" ini khusus untuk membasmi demam denggi secara serius, konsisten dan bersungguh-sungguh. Tugas Paknil pula adalah untuk memberi kesedaran dengan mengunjungi kawasan-kawasan hotspot, bersama bergotong royong dan melakukan kunjungan ke rumah-rumah masyarakat setempat member pemahaman mengenai pembiakan nyamuk aedes ini.
Terlanjur menulis entri ini, Paknil nak juga bagi tahu kepada semua bahawa kunci utama bagi mencegah demam denggi adalah dengan mengurangkan tempat pembiakan aedes sama ada di dalam atau di luar rumah kerana aktiviti semburan kabus atau fogging hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik.Jentik-jentik cuma mengambil masa seminggu sahaja untuk menjadi nyamuk dewasa dan sebab itulah jentik-jentik ini perlu dihapuskan dengan membersih rumah seminggu sekali.
Semua sedia maklum, Paknil terpanggil untuk bekerjasama dalam kempen ini adalah setelah kehilangan rakan baik yang juga rakan penyampai radeio Era Din Beramboi, yang meninggal dunia pada 1 April lalu akibat demam denggi berdarah.
Cukuplah kawan Paknil seorang menjadi mangsa seekor nyamuk. Paknil tidak mahu ia turut berlaku pada orang lain dan sebab itulah Paknil harap kita sama-sama lakukan tugas kita untuk GANYANG nyamuk puaka ini

Friday, June 4, 2010

JOM RAMAI RAMAI!!




Alhamdulillah. Masa dinanti sudah tiba. Majlis pelancaran READ Malaysia 2010. Majlis dilancarkan oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Wee Ka Siong tepat pukul 11 pagi tadi. Paknil selaku Duta READ Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kami.
Paknil harap pengunjung blog ini akan ramai-ramai memeriahkan lagi pameran buku ini kerana banyk manfaat yang boleh diperolehi daripada pameran sebegini. Musim cuti sekolah ini, Paknil ingin minta kerjasama ibubapa semua untuk membawa anak-anak mereka ke sana.
Esok (5 Jun) pukul 3 petang, Paknil akan sekali lagi bersama pengunjung-pengunjung di sana terutama anak-anak yang kan bersama-sama dengan Paknil. Banyak aktiviti yang akan Paknil lakukan bersama mereka!
Dalam pada itu, Paknil juga akan buat lawatan mengejut dari semasa ke semasa tanpa ada pengumuman. Tup tup nanti Paknil muncul aje!
Hari ni tak ramai lagi mungkin kebanyakannya masih bersekolah dan ibubapa bekerja. InsyaAllah hujung minggu ini dan hari-hari selepasnya, kami jangkakan lebih 400 ribu pengunjung akan datang. Jumpa di sana sana sana!!!!

Friday, May 28, 2010

CEWAH!!! IMAM MUDA LAH PULAK!!!!!

Muda ke? Hehehe
Jangan lupa untuk menonton Imam Muda di empat saluran melayu di Astro ie ASTRO Ria, Prima, Oasis dan @15 malam ini kul 9mlm. Paknil ada juga terlibat dengan program pencarian lelaki pertama di dunia untuk dijadikan Imam.
Kalau nak tahu apa agaknya peranan Paknil dalam siri Imam Muda ni, kenalah tonton. Imam muda ni tak ada SMS tau, jadi korang kena akur dengan setiap keputusan yang dilakukan oleh rancangan ini. Penglibatan korang hanya sebagai penonton dan menghayati perjalanan memberi acuan kepada golongan lelaki muda (17 hingga 30 tahun) dibentuk menjadi bakal pemimpin agama.
Malam ini Paknil akan bertindak sebagai pembuka tirai untuk program ini. Selebihnya? Kena tungggu lah!!

Monday, May 17, 2010

READ MALAYSIA 4-13 JUNE...JOM RAMAI-RAMAI!!!

Alhamdullillah setelah dilantik sebelum ini menjadi Duta Kanak-Kanak ASTRO dan Duta Bahasa DBP sempena dengan Anugerah Keterampilan Berbahasa di TV, Paknil kini dilantik menjadi duta untuk READ Malaysia pula yang bakal berlangsung di Mines Convention Centre pada 4-13 June ini.
Paknil harap dengan lantikan ini, Paknil akan dapat menarik minat golongan muda terutama kanak-kanak untuk membaca walaupun kita kita lebih senang mendapat maklumat melalui internet dan komputer.
Tujuan Paknil menyahut tawaran menjadi duta untuk READ Malaysia ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan anak-anak bangsa menyuarakan pendapat mereka seperti yang selalu Paknil perjuangkan. Paknil mahu anak-anak kita lebih yakin bersuara. Hanya dengan banyak membaca seseorang kanak-kanak itu lebih berani dan tidak ragu-ragu dalam memberi pendapat. Memang jauh berbeza kualiti masyarakat yang membaca dan masyarakat yang tidak membaca.
Jom kita ramai-ramai jayakan usaha lahirkan anak-anak yang terang fikiran dan bijak memberi pendapat. InsyaAllah.

Thursday, May 13, 2010

ALAHAI...TERSASUL PULAK!


Dalam masa 1 jam lagi Paknil akan ke udara untuk satu lagi sesi Riuh Pagi ERA. Harap-harap Paknil tidak akan tersasul lagi menyebut "Riuh Pagi Era bersama Aznil dan DIN BERAMBOI"!!!
Terjadi semasa Paknil bersama Zul Yahya di studio selasa lalu. Paknil harap Zul tak berkecil hati. Mungkin sebab dah terlalu biasa menyebut ayat itu selama satu setengah tahun, maka ia dah menjadi rutin biasa bagi Paknil setiap kali memulakan talkset.
Mungkin benar kata lagu Siti Fairuz : BILA KU RINDU, AKU TERSEBUT NAMA MU!!!
Al-Fatihah Buat Arwah Din Beramboi.

Friday, April 23, 2010

KINI KAU TIADA


Hari ini dah masuk hari ketiga Paknil mengendalikan slot Petang Di Era seorang diri dari pukul empat petang hingga lapan malam. Kalau selalunya sebelum ini Paknil mengendalikan Riuh Pagi Era bersama Arwah Din Beramboi menemani pendengar yang dalam perjalanan ke pejabat, kini Paknil menemani mereka ketika pulang dari pejabat pulak.
Pada hari pertama (21 April) bekerja, bergenang juga airmata Paknil kerana sudah biasa sebelum ini ada teman berceloteh di dalam studio tapi kini pendengar Era lah yang menjadi teman Paknil selama empat jam.
Terima kasih kerana sebaik mendengar suara Paknil ke udara, pendengar Era sudah menderu menyerbu talian telefon untuk memberi semangat kepada Paknil. Pelbagai pesanan yang dititipkan buat Paknil agar kembali bertenaga dan bersemangat meneruskan kehidupan.
Yang paling Paknil ingat ialah pesanan pendengar Era yang berpesan “Hidup ini ibarat askar berjuang. Jika seorang sahabat askar tumbang, kita tidak boleh ikut tumbang bersamanya malah harus bangkit dan berjuang terus-terusan”
Terima kasih atas pesanan ini dan akan Paknil ingat sampai bila-bila.
Semasa Paknil melangkah masuk studio Era pada hari pertama Paknil bertugas, Paknil dapat rasakan seolah Arwah Din ada bersama Paknil. Ada beberapa kali Paknil yang mengendalikan panel tertekan butang mikrofon Arwah kerana sudah terbiasa begitu ketika bertugas selama setahun setengah bersamanya dulu.
Setiap kali itu juga Paknil terkedu.InsyaAllah, Paknil akan biasakan diri dengan ketiadaan Arwah. Paknil harus selesakan diri dengan bekerja sendiri dan pada waktu yang berbeza. Harap pendengar Era akan terus memberi sokongan dan menerima cara berbeza Paknil ketika bersiaran. AL-FATIHAH

Sunday, April 4, 2010

HARI INI ADALAH HARI NYA!

Hari ini adalah hari yang paling dinantikan oleh Allahyarham Meor Ahmad Fuad Meor Badri aka Din Beramboi. Malam ini bakal berlansung Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Paknil dapat lihat keterujaan Din Beramboi sejak namanya melekat sebagai finalis bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular.
Din kata:
“Aku nak rasa macam mana engkau rasa Nil selama ini duduk bersama calon-calon lain dekat tempat duduk orang top-top”
Alahai, sebak Paknil bila teringatkan impian Din. Masa Din berlawak waktu commercial break tahun lalu Paknil sedih sangat sebab dia jadi penghibur tatkala siaran langsung berihat untuk iklan. Paknil cakap dengan dia, “Cukup-cukuplah buat keje tu Din. Tahun depan aku nak kau pulak tengok orang lain buat keje tu”
Betul pun. Termakbul doa kami apabila Din tersenarai bersama Paknil, AG, Kieran dan Faizal.
Tapi malam ini dia tengok dari jauh rupanya.
Din kata:
“Aku nak pakai baju ala-ala konvokesyen malam tu nanti. Aku pedulik haper! Yang penting aku nak orang jerit kat aku masa red karpet”
Memang Paknil nantikan saat ini sebab Paknil percaya si Din ni akan buat apa sahaja untuk kasi orang ketawa dan terhibur. Dia pernah buat persembahan kat Melaka masa Jelajah Era buat perkara yang sehingga seluruh penonton dan kami ternganga dan ketawa tak hengat. Rupanya dia dah pakat dengan Shuib Sepah untuk menarik seluar pakaian cinanya ketika kitorang buat catwalk pakaian terbaik. Dia sanggup malukan dirinya yang kelihatan seolah terkejut bila seluarnya dilondehkan dan hanya tinggal seluar pendek di dalam.
Sampai macam tu dia nak buat orang ketawa.
Din kata:
“Kalau kau menang Nil, aku nak naik pentas jugak. Masa kau bagi ucapan, aku pose sebelah kau sebab nak tunggu giliran aku entah bila”
Alahai Din. Kenapa kau tinggalkan aku kata-kata yang boleh buat aku tersentak macam ni? Kau tahu tak Din yang aku tak fikir langsung nak menang dah sekarang ni. Aku cuma teruja nak tengok perangai engkau aje. Paknil dah boleh bayangkan keriuhan dia yang boleh buat lawak sengal dia sorang-sorang ketika majlis.
Dia seronok tengok calon-calon gila-gila lain terlibat sama sebagai finalis seperti Didie Alias dan Enot sebab Paknil dah jangka mesti ada sesuatu dia akan bawak pakat dengan diorang malam itu nanti.
Dalam keriuhan tepuk sorak malam ini, Paknil akan rasa sunyi.
Din kata:
“Aku malam ABP nanti akan ikut bontot kau kemana kau pegi orang mesti ambik gambar kau untuk suratkhabar. Ada aku kesah!”
Pening jugak layan si Din yang main redah aje ni. Tak akan ada siapa yang boleh marah dengan tindakan dia sebab semua sudah akur dengan sikap ‘belasah aje’ dia tu! Semua orang seolah menunggu Din buat sesuatu yang ‘luarbiasa’ sebab kalau dia bersikap seperti orang lain, maka itu bukan Din Beramboi dan mungkin ramai yang rasa pelik.
Sekarang Din tak payah ikut 'bontot' Paknil sebab mana Paknil pergi pun ada dia dalam hati Paknil.
Kini semua tinggal kenangan.
Paknil boleh bayangkan aje benda yang dia cakapkan itu pada ketika berlangsungnya ABP malam nanti. Jika ada di antara kawan arwah yang tidak mahu menyertai ABP malam ini sebab hormatkan arwah, itu hak mereka. Paknil tetap akan pergi, InsyaAllah. Menang atau kalah. Kali ini Paknil pergi pun sebab dia. Paknil nak bawa bersama Paknil semangat Din Beramboi. Paknil nak orang semua rasa kehadirannya di situ malam ini walaupun Din sudah tiada.
InsyaAllah Paknil akan bawa anak sulong Din bersama Paknil malam ini. Paknil nak dia tahu yang Papa dia teringin sangat berada di situ malam ini dan menghargai kerja Papa dia selama ini. Paknil nak dia tahu jugak yang Papa dia sebenarnya disayangi jutaan peminat dan kerja gila Papa dia terbayar malam ini.
Buat Din, “Aku rindu kat kau, rindu sangat”. Al-Fatihah.